Siti Hariesa, Shukri & Amerul Kini Usahawan Kafe Dengan BRU Coffee Shop

Tiga nama besar dalam industri seni tanah air Shukri Yahaya, Amerul Affendi dan Siti Hariesa telah melangkah ke dunia perniagaan dengan pelancaran eksklusif BRU Coffee Shop, sebuah kedai kopi berkonsepkan kreatif yang diilhamkan daripada drama bersiri terbaharu mereka, Bru.

Majlis pelancaran yang berlangsung meriah pada 5 Mei 2025 (Isnin) di APW, Bangsar, turut menyaksikan kehadiran peminat setia yang hadir bagi sesi ramah mesra bersama barisan pelakon utama. Suasana santai namun penuh semangat memperlihatkan keterujaan ramai apabila dunia seni dan dunia kopi bergabung dalam satu acara unik.

Pelancaran BRU Coffee Shop ini bersempena tayangan Tonton Original: Bru, yang mula bersiaran pada 1 Mei 2025 dan ditayangkan setiap Isnin dan Khamis, eksklusif di Tonton. Menariknya, kedai kopi ini bukan sekadar strategi promosi ia mencerminkan elemen naratif dan watak-watak dalam drama tersebut.

Disutradarai oleh Nik Amir Mustapha, yang dikenali dengan gaya sinematografi estetik dalam karya seperti Kil, Terbaik Dari Langit, Imaginur dan Rise Ini Kalilah, drama Bru membawa elemen penceritaan yang segar dan berbeza. Ini juga merupakan drama bersiri pertama arahan beliau, menjadikan Bru antara tontonan wajib musim ini.

Dalam Bru, Shukri Yahaya membawa watak Shah seorang pencinta kopi yang begitu taksub dengan kejayaan. Siti Hariesa tampil sebagai Hani barista berbakat yang mahu membina identiti sendiri di sebalik status sebagai anak Tan Sri. Manakala Amerul Affendi memegang watak Ajan sahabat setia Shah yang penuh jiwa dan emosi.

Watak-watak ini turut memberikan peluang kepada ketiga-tiga pelakon untuk menonjolkan sisi baharu mereka. Shukri, yang sebelum ini sinonim dengan watak Fadlan si gangster dalam Blood Brothers, tampil lebih ‘cool’ dan santai sambil mempamerkan minat sebenar beliau dalam bidang kopi. Siti Hariesa pula membawakan transformasi berani meninggalkan imej manis untuk watak lebih tegas dan bebas. Sementara itu, Amerul Affendi menunjukkan sisi versatil sebagai pelakon dramatik selepas kejayaan komedinya dalam 6 Jilake.

Pelancaran BRU Coffee Shop bukan hanya tentang minuman berkualiti, tetapi juga pengalaman sinematik mewujudkan satu ‘bridge’ antara dunia fiksyen dan realiti. Bagi peminat dan pencinta kopi, ini adalah peluang merasai sendiri ‘jiwa’ di sebalik cerita Bru.

Jangan lupa untuk menonton Tonton Original: Bru setiap Isnin dan Khamis, eksklusif di Tonton! Strim episod baharu di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Ikuti perkembangan lanjut di media sosial rasmi Tonton @TontonMY di Facebook, Instagram dan Twitter.