Sisi Baharu Adikara: Mini Album ‘Spotless Dove’ Terjemah Fasa Matang Sebagai Seorang Ayah

Penyanyi dan penulis lagu berbakat, Adikara, secara rasmi melancarkan album mini (EP) terbaharunya bertajuk “Spotless Dove”. Naskhah ini merupakan sebuah karya refleksi peribadi yang merakamkan fasa terpenting dalam hidupnya ketika mempersiapkan diri melangkah ke alam keibubapaan.

Berita mengenai kehadiran cahaya mata sulung, seorang puteri, telah membawa perubahan cara pandang yang mendalam buat Adikara. Beliau mula merenung kembali makna tanggungjawab dan kasih sayang, menyedari bahawa setiap anak dilahirkan ke dunia dalam keadaan fitrah yang murni. Kesedaran tersebut mencetuskan keinginan kuat dalam dirinya untuk memastikan sang anak dibesarkan dengan cinta yang utuh sejak awal lagi.

“EP ini lahir daripada ruang refleksi yang sangat peribadi. Saya ingin memastikan bahawa anak saya tahu dia amat dicintai, malah jauh sebelum dia dilahirkan ke dunia ini,” ujar Adikara.

Dalam meniti proses pembikinan album ini, Adikara turut menyelami makna baharu tentang maskulinitas. Terinspirasi daripada ungkapan, “The most masculine I have ever felt is when I held my own daughter,” beliau menyedari bahawa kekuatan seorang lelaki bukan hanya terletak pada ketegasan, tetapi juga pada kelembutan dan kesediaan menjadi pelindung buat keluarga.

“Spotless Dove” diibaratkan sebagai hadiah sulung buat puterinya—sebuah peringatan abadi bahawa cinta seorang ayah akan sentiasa ada dan tidak akan pernah berubah. Adikara berharap agar lagu-lagu dalam EP ini dapat menjadi ruang buat anaknya kembali pada masa hadapan untuk merasai kasih sayang yang telah dipahat sejak awal kehadirannya.

Naskhah penuh emosi ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music bermula hari ini.