Siti Halijah, penyanyi kelahiran Melaka yang juga bekas ahli Kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, kini kembali dengan single terbaharu bertajuk ‘Sila – Sila Ke Melaka’. Lagu ini merupakan hasil kolaborasi bersama komposer tempatan, Anwar Jaapar atau lebih dikenali sebagai Cik Mai, yang turut berasal dari negeri bersejarah itu.
Menariknya, lagu ini bukan asing buat peminat setia Siti Halijah kerana ia pernah dipersembahkan dalam Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia 2011 di Melaka. Persembahan tersebut berjaya mengangkat nama beliau apabila lagu itu dinobatkan sebagai Juara serta merangkul Anugerah Lagu Terbaik PBT Se-Malaysia.
Melihat kepada sambutan dan maklum balas positif ketika itu, Siti Halijah dan Cik Mai mengambil keputusan untuk merakamkan semula lagu tersebut dengan sentuhan susunan muzik baharu oleh Amy Bong, yang memberikan nafas segar dan kontemporari. Lagu ini menampilkan mesej pelancongan yang kuat serta menonjolkan identiti Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, dengan lirik berinspirasikan semangat pahlawan Melayu “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”.
“Lagu ‘Sila-Sila Ke Melaka’ adalah sebuah karya yang unik dan mempunyai tema semangat pelancongan sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2025 yang bakal dilancarkan di Melaka September ini. Saya rasa ini masa paling sesuai untuk rilis lagu ini secara rasmi di corong-corong media,” jelas Siti Halijah.
Bukan kali pertama beliau bergiat aktif dalam dunia rakaman, Siti Halijah juga pernah bergabung suara bersama Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris, menerusi lagu raya ‘Cinta Lebaran’ sebagai salah seorang penyanyi dalam Kumpulan Akasia.
Lagu ini diterbitkan oleh Luncai Emas, yang turut bertindak sebagai pemegang hak cipta dan pengedar digital rasmi. Video muzik rasmi telah pun dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas, manakala versi audio boleh distrim di semua platform digital.
Dengan pelancaran ini, ‘Sila – Sila Ke Melaka’ bukan sahaja menjadi platform baharu buat Siti Halijah dalam arena muzik, malah diharap mampu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa.