Sime Motors, pemain utama dalam industri automotif, hari ini memperkenalkan EV NEXT, pengedar kenderaan elektrik (EV) terpakai yang pertama di Malaysia. Dengan matlamat untuk menjadi pembekal EV terkemuka di rantau ini, EV NEXT menawarkan pilihan EV terpakai yang pelbagai kepada pelanggan dengan harga tukar beli yang menarik dan berpatutan.
Andrew Basham, Pengarah Urusan Sime Motors, menyatakan, “Permintaan terhadap kenderaan elektrik semakin berkembang di Malaysia, mencerminkan peralihan yang pesat ke arah pengangkutan yang lebih lestari. Kami amat berbangga untuk memperkenalkan EV NEXT sebagai pengedar EV terpakai pertama di Malaysia, memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat. Usaha kami ini akan terus mendorong peralihan ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan bagi pelanggan kami.”
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, turut berkongsi visi yang lebih besar untuk EV NEXT, yang kini bertindak sebagai pusat sehenti untuk keperluan EV terpakai. “Dengan pengalaman luas dalam industri automotif, EV NEXT akan menyediakan segala-galanya dari jualan kenderaan, tukar beli, hingga perkhidmatan selepas jualan. Kami sedar bahawa permintaan terhadap EV terpakai dalam keadaan baik semakin tinggi, dan kami berkeyakinan dapat menyediakan pilihan kualiti terbaik kepada pelanggan kami. Perkhidmatan serba lengkap ini direka untuk memberikan ketenangan fikiran kepada setiap pemilik EV sepanjang pengalaman mereka,” kata Jeffrey.

Portfolio EV NEXT menyediakan pelbagai pilihan jenama kenderaan elektrik terkemuka, termasuk BYD, BMW, MINI, Hyundai, Jaguar, Porsche, dan Volvo. Sebagai pusat perkhidmatan yang lengkap, EV NEXT tidak hanya memberi pilihan kenderaan tetapi juga pengalaman pelanggan yang menyeluruh. Dari pemilihan EV yang sesuai hingga sokongan selepas jualan dan penyelenggaraan yang berkualiti, Sime Motors berusaha untuk memastikan setiap pelanggan mendapat pengalaman pemilikan yang memuaskan.
Untuk menyokong pemilik EV, EV NEXT turut dilengkapi dengan rangkaian selepas jualan yang diberi nama Drivecare. Rangkaian ini bertujuan untuk memastikan setiap pemilik EV menikmati pengalaman pemilikan yang sempurna, dari penyelenggaraan berkala hingga perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh. Juruteknik berkemahiran tinggi dan berpengalaman di Sime Motors sentiasa tersedia untuk memastikan setiap kenderaan – termasuk bateri EV – berada dalam keadaan terbaik untuk kegunaan harian.

Bagi pelanggan yang berminat membeli atau menukar beli EV terpakai, EV NEXT kini boleh didapati di beberapa lokasi strategik termasuk Glenmarie, Chan Sow Lin, dan TREC. EV NEXT juga merancang untuk memperluaskan kehadirannya ke seluruh negara dengan pembukaan lokasi baru di Pulau Pinang, Tebrau, dan Johor Bahru. Para pelanggan yang ingin mendapatkan lebih maklumat atau menjadualkan janji temu boleh melawat laman web rasmi EV NEXT di https://evnext.my/.
Dengan pelancaran EV NEXT, Sime Motors terus memainkan peranan penting dalam memajukan ekosistem kenderaan elektrik di Malaysia, membawa lebih banyak pilihan dan akses kepada teknologi hijau yang lebih mampan untuk pengguna di seluruh negara.