Hari yang sepatutnya menjadi detik paling indah buat Ariana bertukar menjadi tragedi yang langsung tidak disangka. Tunangnya, Iskandar, hilang tanpa jejak sebelum akad, meninggalkan keluarganya dalam keadaan huru-hara. Demi menyelamatkan maruah, Hariz yang juga adik kepada Iskandar, terpaksa menjadi “pak sanggup”. Dari titik itulah bermulanya perkahwinan paksa yang dipenuhi dendam, syarat dan rahsia, membuka jalan kepada drama bersiri vertikal baharu berjudul Separuh Nafas Cinta. Siri ini akan disiarkan eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton bermula 1 Disember 2025, dengan dua episod baharu setiap hari pada jam 12.00 tengah hari dan 8.00 malam.
Drama vertikal terbitan Media Prima ini menampilkan gandingan pertama kali dua finalis Pencarian Pelakon Drama Sangat, Amin Sufian dan Ariana Yusof, bersama Amri Dahlan dan Zazzleen. Dengan 60 episod berdurasi dua hingga tiga minit setiap satu, siri ini menawarkan konflik tanpa henti yang membuatkan penonton tertarik untuk mengetahui sejauh mana cinta dan pengorbanan mampu bertahan sebelum semuanya musnah.
Separuh Nafas Cinta mengikuti perjalanan Ariana sebagai seorang isteri yang dipaksa menerima perkahwinan yang tidak diingininya. Walaupun bersetuju, Ariana menetapkan syarat tegas bahawa Hariz mesti menceraikannya selepas enam bulan. Namun hidupnya tidak berjalan seperti dirancang. Ariana berdepan tekanan demi tekanan, terutamanya daripada Juhara, ibu mentua yang tidak pernah merestui dirinya sejak hari pertama.
Tinggal sebumbung dengan Juhara menjadikan hidup Ariana ibarat neraka. Dia diperlakukan seperti pembantu rumah, menanggung penderaan fizikal dan emosi, sementara Hariz tersepit antara tanggungjawab sebagai anak dan amanah sebagai suami. Pertanyaannya, mampukah mereka menemui kedamaian di tengah putaran kesengsaraan yang membelit hidup masing-masing?
Naskhah ini turut menjadi tanda kemunculan semula Zazzleen dalam watak antagonis yang jauh berbeza daripada imej komedi yang sering dikaitkan dengannya. Kali ini, beliau membawa peranan sebagai ibu mentua kejam dan manipulatif, satu karakter yang pasti membuat penonton geram.
Zazzleen berkata bahawa watak Juhara memberikan cabaran besar baginya. Beliau berkongsi bahawa selama ini dirinya dikenali dengan watak ceria, dan apabila menerima tawaran ini, beliau tahu ini peluang untuk keluar daripada zon selesa. Juhara digambarkan sebagai watak yang tegas, penuh tipu helah dan sanggup melakukan apa sahaja demi kehendaknya. Zazzleen turut menzahirkan keterujaannya untuk melihat reaksi penonton terhadap lakonannya.
Ariana Yusof yang kali pertama membawa watak utama selepas menjadi finalis Pencarian Pelakon Drama Sangat, melihat peluang ini sebagai pencapaian besar dalam kariernya. Ariana merasakan tanggungjawab untuk membuktikan kemampuannya lebih besar kerana karakter yang dibawanya penuh lapisan emosi. Trauma, pengkhianatan, perkahwinan tanpa kerelaan dan penderaan mentua menjadikan watak Ariana sebuah peranan mencabar yang memerlukan ketahanan emosi dan versatiliti.
Siri ini turut diperkuat dengan lagu Benar Indah, nyanyian Kai Deva dengan hasil produksi, komposisi dan lirik oleh Firdaus Rahmat. Lagu ini menjadi runut bunyi rasmi dan dijangka menambahkan emosi kepada setiap babak penting drama.
Separuh Nafas Cinta mengangkat kisah pengorbanan, tekanan batin dan konflik mentua-menantu yang membekas di jiwa. Nantikan tayangannya bermula 1 Disember 2025 hanya di TikTok Drama Sangat dan Tonton.
Untuk perkembangan terkini mengenai drama dan program kegemaran, penonton boleh mengikuti Facebook, X, YouTube dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat. Penonton juga boleh mengikuti platform rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.