Untuk Adifa, muzik adalah tempat paling selesa untuk luahkan cerita hati. Melalui mini album pertamanya, with love, Adifa. yang diterbitkan oleh Trinity Optima Production, dia berkongsi perjalanan emosi yang sangat peribadi tentang rasa, rindu, dan keberanian untuk buka sisi rapuh diri.
Mini album ini mengandungi tiga lagu yang menggambarkan perjalanan seorang gadis muda yang sedang berdepan pelbagai perasaan. Selepas single pop segar “Jatuh Lagi / Benci Lagi” tahun lalu, Adifa hadirkan dua lagu baru yang lebih lembut dan mendalam, iaitu “Lekas Pulang” dan “Mirip Dirimu.”
Adifa akui lagu “Lekas Pulang” sangat bermakna selepas kehilangan sahabat rapat. Lagu ini menyentuh rasa rindu dan penantian yang universal bukan hanya untuk pasangan, malah juga untuk keluarga dan sahabat. Video muziknya yang dihasilkan oleh Acierto berjaya menggambarkan suasana kesepian dan harapan yang mendalam, seiring dengan lirik dan suara Adifa yang penuh emosi.
Proses menghasilkan album ini penuh dengan kerjasama dan sokongan ramai pihak. Adifa berterima kasih kepada para kolaborator seperti Aldi Nada Permana, Simhala Avadana, Tintin, dan juga pasukan produksi video yang bekerja keras walaupun dalam cuaca panas bulan puasa.
Dengan with love, Adifa., penyanyi muda ini berharap album ini jadi teman setia untuk sesiapa yang sedang bergelut dengan perasaan. “Saya harap album ini jadi ruang selamat dan ikhlas, menemani korang yang sedang rindu, keliru, atau gembira,” katanya. Mini album ini sudah boleh didengar di semua platform muzik digital mulai 21 Mei 2025, manakala video muzik “Lekas Pulang” boleh ditonton di saluran Youtube Trinity Optima Production. – Tehtariktimes