Sensasi Blood Brothers! Bukit Bintang Dihujani Kejutan, Kutipan Cecah RM62 Juta!

Filem aksi tempatan Blood Brothers: Bara Naga terus mencetus fenomena apabila berjaya mengekalkan kedudukan sebagai juara kutipan box office selama tiga minggu berturut-turut. Dengan jumlah kutipan mencecah RM62 juta dalam tempoh 20 hari tayangan dan tayangan awal, karya ini kini tersenarai dalam carta kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman tempatan.

Kejayaan luar biasa ini bukan sekadar angka ia membuktikan bahawa filem aksi tempatan masih memiliki tempat istimewa di hati penonton Malaysia. Ia juga memberi nafas baharu kepada industri, membuktikan bahawa hasil tempatan mampu bersaing dengan produksi antarabangsa dari segi kualiti dan sambutan.

Bagi meraikan pencapaian luar biasa ini, sebuah acara penuh kejutan telah diadakan di Bukit Bintang, destinasi ikonik yang menjadi nadi Kuala Lumpur. Detik paling mengujakan malam tersebut adalah ketika jumlah kutipan RM62 juta diumumkan secara mengejut di papan LED gergasi, sekali gus menarik perhatian ramai pengunjung dan peminat. Bukit Bintang dipilih bukan sewenang-wenangnya ia melambangkan semangat yang membara dan tidak pernah padam, sejajar dengan roh filem Blood Brothers: Bara Naga itu sendiri.

Acara turut diserikan dengan kehadiran tokoh legenda industri, Datuk Dr. Yusof Haslam, serta dua pengarah hebat, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra. Barisan pelakon utama seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, Amir Nafis dan Razib Salimin turut hadir memeriahkan suasana. Lebih dramatik, seramai 30 individu berpakaian sut hitam mirip pengawal peribadi ‘menguasai’ kawasan sekitar, mencipta aura misteri dan seolah-olah menghidupkan dunia Blood Brothers di hadapan mata. Persembahan akustik dari Genji Busker yang mendendangkan lagu tema Bara Jiwa menambahkan lagi emosi dan kemeriahan acara.

Acara ini bukan sekadar promosi, tetapi satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kepada karya tempatan yang berkualiti tinggi. Hotel WOLO Kuala Lumpur tampil sebagai penaja rasmi penginapan buat para artis dan tetamu kehormat, sebagai tanda sokongan terhadap dunia seni tanah air.

Dalam ucapannya, Datuk Dr. Yusof Haslam menyatakan rasa syukur atas sambutan hangat penonton: “Terima kasih di atas sambutan yang cukup memberangsangkan dan luar biasa. Segala yang baik daripada Allah dan segala kekurangan adalah dari kami. Saya amat menghargai sokongan yang diberikan oleh semua penonton, yang sentiasa memberikan perhatian dan semangat terhadap industri perfileman tanah air…” Beliau turut menyeru penonton agar terus menyokong filem-filem tempatan lain yang sedang ditayangkan dan memberi impak positif kepada dunia perfileman negara.

Blood Brothers: Bara Naga telah membuktikan bahawa filem aksi tempatan mampu mencipta gelombang besar dan membuka ruang untuk lebih banyak karya berani, berkualiti serta berdaya saing global. Jika anda masih belum menyaksikannya, ini masa anda untuk jadi sebahagian daripada fenomena ini. Saksikan Blood Brothers: Bara Naga di pawagam berhampiran dan alami sendiri pengalaman sinematik yang penuh intensiti, emosi dan aksi yang menggegarkan!