SELEPAS “KORBAN RINDU” CAPAI 1 JUTA TONTONAN, PUTERA BOBO LANJUT MOMENTUM DENGAN “KISAH HIDUPKU”

Kejayaan single sulung Putera Bobo, “Korban Rindu”, yang memperoleh lebih satu juta tontonan di saluran YouTube rasmi Nova Music Malaysia, membuktikan aura penyanyi muda berusia 14 tahun itu semakin mendapat tempat di hati peminat. Melihat sambutan luar biasa itu, Putera Bobo kini tampil dengan single terbaharunya berjudul “Kisah Hidupku”, sebuah karya istimewa ciptaan ibunya, Elyani Queen bersama komposer berpengalaman, Eddie Hamid.

Menurut Elyani, “Kisah Hidupku” merupakan lagu yang sudah lama digubah dan pernah dikongsikan kepada orang ramai melalui media sosial sejak lima bulan lalu. Beliau menjelaskan bahawa lirik rangkap pertama lagu itu yang menyentuh kisah kehidupan serba kekurangan dibina berdasarkan realiti yang banyak dilalui masyarakat, terutama mereka yang membesar dalam keadaan serba sederhana. Lirik awal lagu tersebut, seperti “Kisah hidupku, anak orang kampung… Hinanya diriku, nasib tak beruntung…,” mendapat perhatian ramai kerana mesejnya yang dekat dengan kehidupan sebenar.

Elyani berkata bahawa pada mulanya lagu itu hanya disiapkan separuh, sebelum Eddie Hamid menyarankan agar lagu tersebut disempurnakan sepenuhnya. Dengan kerjasama dua penulis lirik lain, Zaza dan Rumie, keseluruhan lagu itu akhirnya dapat disiapkan dengan baik. Beliau turut menambah bahawa penghasilan lagu dalam dialek Kelantan dilakukan secara sengaja bagi mengekalkan keaslian serta memberi sentuhan yang lebih dekat dengan jiwa pendengar.

“Kisah Hidupku” membawa naratif yang merefleksi perjalanan hidup ramai insan yang pernah melalui kepayahan sebelum menikmati keselesaan hari ini. Elyani percaya mesej lagu tersebut dapat memberi kesedaran dan mengangkat suara golongan yang sering terlepas pandang, termasuk kanak-kanak yang berdepan kesukaran seperti pergi ke sekolah tanpa bersarapan. Melalui suara Putera Bobo, lagu itu dijadikan medium untuk menyampaikan kisah mereka dengan lebih jujur dan menyentuh hati.

Lagu terbitan Kijang Music dan edaran Nova Music Malaysia ini dirakam pada pertengahan Oktober di Studio SSR. Menurut Elyani, proses rakaman berjalan lancar kerana Putera sudah lama menghafal melodi lagu tersebut. Penggambaran video muzik juga berjalan mudah dan dilakukan di kawasan kampung tempat mereka tinggal di Jerteh, Terengganu, menjadikan hasil visualnya lebih autentik dan dekat dengan tema lagu.

Sementara itu, Eddie Hamid yang bertindak sebagai penerbit lagu ini mengakui tertarik sebaik sahaja mendengar melodi awal “Kisah Hidupku”. Meskipun lagu itu pada awalnya hanya mempunyai satu rangkap, melodi dan mesejnya sudah cukup kuat untuk meyakinkan Eddie bahawa ia wajar dijadikan single terbaru Putera Bobo. Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan dialek Kelantan bukan halangan, malah ia menambah identiti unik yang mampu menambat perhatian pendengar.

“Kisah Hidupku” kini boleh didengar di semua platform penstriman muzik utama. Video muzik rasmi juga telah dilancarkan di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’. Peminat boleh menikmati karya penuh emosi itu melalui saluran rasmi tersebut.