Sarawak Gegar! Konsert MeleTOP TVS Cetus Fenomena di Bumi Kenyalang

Buat julung kalinya, Astro dengan kerjasama TVS bakal membawakan ‘Konsert MeleTOP TVS’, konsert MeleTOP pertama yang dianjurkan di luar Semenanjung Malaysia. Dengan tagline “Nang Champiyen Nang Lagend”, konsert ini bakal berlangsung pada 17 Mei 2025 bertempat di Stadium Bandaraya Miri (Tertutup) jam 9.00 malam. Para peminat juga boleh menyaksikan siaran langsung melalui TVS (saluran 122), serta secara strim menerusi Astro ONE dan aplikasi sooka. Bagi yang terlepas, siaran ulangan konsert ini akan ditayangkan pada 25 Mei 2025 di Astro Ria (saluran 104) jam 9 malam.

Mengangkat tema warisan kebudayaan Borneo, konsert ini merupakan gabungan unik elemen tradisional tempatan dan budaya pop moden, sebagai penghargaan kepada kepelbagaian budaya di Malaysia Timur. Barisan selebriti hebat yang bakal membuat persembahan termasuklah Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Marsha Milan, Hafiz Suip, Stacy, Floor 88 & Namie, DOLLA, Sada Borneo, Dion Das, Francisca Luhong (Miss Universe Malaysia 2020), Hairee Francis, Wani Kayrie dan Noki. Konsert ini juga bakal menampilkan gandingan pengacara popular MeleTOP iaitu Nabil Ahmad, Sherry Alhadad dan Hawa Rizwana, bersama hos TVS seperti Ghaz Zawawi, Cheryl Toh dan Fattah Bolh.

Menurut Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, konsert ini menjadi simbol penyatuan budaya dan hiburan tanah air. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan acara ini termasuk TVS, MTCP, Majlis Perbandaran Miri serta warga Sarawak dan Sabah yang selama ini memberi sokongan padu kepada Astro. Konsert ini juga mendapat sokongan penuh daripada U Mobile selaku penaja utama, Super Kopi (TM) sebagai kopi rasmi, dan ERA Sarawak sebagai geng radio rasmi.

Menjelang konsert utama, Astro turut mengadakan program “Hello Miri” dari 9 hingga 11 Mei 2025 di Atrium 1, Ground Floor, Permaisuri Imperial City Mall, Miri. Acara ini memberi peluang kepada peminat untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan mini, sesi bertemu artis serta pratonton kandungan Astro. Antara artis yang dijangka hadir ialah Siti Saleha, Haneesya Hanee, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Adira, Firdaus Rahmat, Ayu Damit, Noryn Aziz, Shahrul Kamal, Nikki Palikat, Kaka Azraff, Tomok, Priscilla Abby, Dinda Dania, Isaac Voo serta pelakon antarabangsa drama “Little Nyonya” iaitu Zhang Ze Tong dan Tyler Ten. Pada 9 Mei juga akan berlangsung sesi uji bakat Kilauan Emas 2025 dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Para peminat boleh strim Konsert MeleTOP TVS dengan mudah menerusi Astro ONE atau aplikasi sooka. Astro ONE menawarkan lebih 95 saluran dan membolehkan strim sehingga empat peranti serentak. Untuk pengalaman yang lebih lancar, pelanggan boleh menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps hanya RM90 sebulan. Untuk langganan dan maklumat lanjut, layari www.astro.com.my.