Samsung menyeru pengguna Galaxy untuk segera mengaktifkan ciri anti-kecurian terbaharu yang kini tersedia menerusi kemas kini One UI 7. Ciri ini diperkenalkan bagi menangani peningkatan kes kecurian telefon pintar dan menyediakan perlindungan menyeluruh terhadap data peribadi, walaupun dalam situasi berisiko tinggi. Ia pertama kali dilancarkan bersama Galaxy S25 dan kini diperluaskan ke lebih banyak peranti termasuk siri Galaxy S24, Z Fold6, Z Flip6, S23 dan S22.
Antara ciri utama ialah Theft Detection Lock yang mengesan gerakan seperti diragut dan mengunci skrin secara automatik, Offline Device Lock yang mengunci peranti apabila tidak bersambung ke rangkaian, serta Remote Lock yang membolehkan pengguna mengunci telefon dari jauh. Ciri tambahan seperti Identity Check dan Security Delay juga diperkenalkan untuk menghalang sebarang perubahan keselamatan tanpa pengesahan biometrik, terutama di lokasi luar kebiasaan.
Sekiranya peranti dicuri, pengguna boleh mengakses laman Samsung Find untuk mengunci atau memadam data dari jauh. Selain itu, mereka disarankan untuk menukar kata laluan akaun Samsung dan Google bagi mengelakkan akses tanpa kebenaran. Samsung juga menyediakan pelbagai cara untuk menjejak peranti, termasuk melalui jam tangan Galaxy dan aplikasi Galaxy Wearable.
Pengguna turut digalakkan melaporkan kes kehilangan kepada pihak polis, menghubungi syarikat telco untuk menghentikan talian, serta mempertimbangkan pelan perlindungan seperti Samsung Care+ yang melindungi daripada kerosakan, kehilangan dan kecurian. Untuk maklumat lanjut, layari Samsung.com. – Tehtariktimes