Jiwa Seorang Pentaksub tampil sebagai drama baharu di slot Samarinda TV3 yang mengangkat kisah penuh konflik, manipulasi dan obsesi terhadap kuasa. Drama terbitan Suhan Movies arahan Nur Ain Sharif ini membawa penonton menyelami kehidupan seorang pemimpin berpengaruh yang dipuja masyarakat, namun menyimpan sisi gelap yang mampu menghancurkan kehidupan orang di sekelilingnya.
Drama 25 episod ini dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor sebagai Firzan, seorang lelaki yang berjaya membina empayar politiknya sehingga menjadi figura yang dihormati ramai. Turut membarisi pelakon utama ialah Sophia Albarakbah, Rita Rudaini, Shahz Jaszle, Ady Mohammad dan Ariff Idrus. Jiwa Seorang Pentaksub mula bersiaran pada 1 Jun 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi slot Samarinda TV3.
Kisah bermula apabila Firzan yang dahulunya hanya seorang pemandu peribadi kepada ahli politik berpengaruh mula mempelajari selok-belok dunia politik. Melihat kuasa sebagai jalan menuju kejayaan, dia menggunakan pelbagai strategi termasuk perkahwinan untuk membuka peluang dan memperkukuhkan kedudukannya dalam arena politik sehingga berjaya membina pengaruh sendiri.
Namun di sebalik kejayaan yang dikecapi, Firzan semakin tenggelam dalam ketamakan dan obsesi terhadap kuasa. Kehadiran Diana, seorang pempengaruh media sosial terkenal yang juga teman wanita kepada anaknya, Aiman, mencetuskan konflik besar apabila Firzan mula memanipulasi keadaan demi memenuhi keinginannya sendiri. Tindakannya itu bukan sahaja mengancam hubungan keluarga malah mendedahkan sisi sebenar dirinya yang selama ini tersembunyi.
Dalam masa yang sama, Aidil, seorang lagi anak Firzan, masih menyimpan kebencian mendalam terhadap bapanya. Luka lama yang belum sembuh menyebabkan hubungan mereka terus tegang, sekali gus menambahkan lagi konflik dalam keluarga yang sudah sedia rapuh.
Suri pula menjadi individu paling setia yang sentiasa berada di sisi Firzan. Sebagai orang yang mengetahui pelbagai rahsia gelap lelaki tersebut, Suri memainkan peranan penting dalam perjalanan cerita. Namun apabila satu demi satu rahsia mula terbongkar, persoalan mula timbul mengenai siapa sebenarnya yang mengawal keadaan dan siapa yang sedang dimanipulasi.
Menurut Datuk Rosyam Nor, watak Firzan merupakan seorang individu yang percaya dirinya sentiasa berada di pihak yang benar. Firzan tidak melihat dirinya sebagai penjahat, sebaliknya bijak mempengaruhi persepsi orang lain sehingga berjaya membuatkan mereka mempercayainya. Watak ini dijangka mengundang pelbagai reaksi daripada penonton kerana sikapnya yang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.
Dengan jalan cerita yang sarat dengan intrik, pengkhianatan dan konflik kekeluargaan, Jiwa Seorang Pentaksub menawarkan sebuah naskhah yang bukan sahaja menghiburkan, malah mengajak penonton menilai harga sebenar sebuah kuasa. Jangan lepaskan peluang mengikuti perjalanan Firzan dan mereka yang terperangkap dalam dunia ciptaannya setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3.
Bagi yang terlepas siaran televisyen, episod baharu boleh ditonton secara eksklusif di iQIYI satu jam selepas siaran TV3 menerusi laman web dan aplikasi rasmi platform tersebut.











