SAH Entertainment Bawakan Insomniacks ke Zepp KL, Konsert Solo Pertama dengan Harga Tiket Mampu Milik

Selepas sepuluh tahun mewarnai industri muzik tanah air, kumpulan Insomniacks bakal mengadakan konsert solo pertama mereka yang diberi nama Insomniacks: Echoes Of A Dream pada 12 Julai 2025 bertempat di Zepp, Kuala Lumpur. Konsert ini dianjurkan oleh SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music dan dijangka menjadi satu detik bersejarah buat kumpulan yang telah lama membina nama menerusi karya segar dan dekat di hati pendengar.

Insomniacks yang terdiri daripada tiga anggota iaitu Syed Mir Iqbal atau Iqie (vokalis utama), Wan Arif Iskandar (pemain bes), dan Danial Lee Hashim (pemain gitar), telah berjaya menarik perhatian peminat bukan sahaja di Malaysia, malah turut mendapat tempat di negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei. Antara lagu-lagu popular mereka termasuk Pulang, Reminisensi, Sempurna, dan Igauan Malam. Lagu kolaborasi bersama Nabila Razali berjudul Cerita Kita serta duet bersama penyanyi dari Indonesia, Nabila Taqiyyah menerusi lagu Belum Mulai turut mendapat sambutan luar biasa, dengan Belum Mulai dinobatkan sebagai Video Muzik Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2024.

Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, penganjuran konsert ini merupakan satu penghargaan buat para peminat yang menjadi tulang belakang kepada perjalanan seni Insomniacks selama ini. Beliau turut memaklumkan bahawa harga tiket ditawarkan pada kadar mampu milik agar lebih ramai peminat dapat turut serta menyaksikan konsert solo pertama kumpulan tersebut. Malah, harga tiket tersebut merupakan antara yang paling rendah pernah ditawarkan di Zepp KL dalam tempoh yang lama.

Kumpulan Insomniacks ditubuhkan pada tahun 2015 dan memulakan perjalanan mereka dengan memuat naik video ‘cover’ lagu-lagu popular di saluran YouTube sebelum mula menulis dan menghasilkan lagu sendiri. Mereka turut mencatat sejarah apabila empat lagu mereka berjaya menembusi carta Top 10 Recording Industry Malaysia (RIM), menjadikan mereka kumpulan pertama di Malaysia yang mencapai pencapaian tersebut. Pada tahun 2024, mereka juga dinobatkan sebagai artis kelima paling banyak distrim di Spotify Malaysia, membuktikan kekuatan muzik mereka yang berteraskan gabungan genre pop, rock dan punk.

Tiket untuk konsert Insomniacks: Echoes Of A Dream akan mula dijual bermula 5 Mei 2025 menerusi laman web Ticketmelon. Harga tiket adalah seperti berikut: RM138 (Maniacks – standing), RM168 (Sempurna – seating), RM228 (Reminisensi – seating), dan RM6888 (Pulang – VIP box). Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi SAH Entertainment menerusi emel hello@sahentertainment.com.