Ryzal Aziz Lancar Single Ramadan, Sentuh Hati Peminat Menjelang Bulan Suci

Penyanyi dan komposer berbakat, Ryzal Aziz, kembali menyentuh hati peminat muzik tanah air dengan lagu terbaru berjudul Ramadan. Lagu ini dikeluarkan sebagai hadiah istimewa bersempena dengan kedatangan bulan suci yang dinanti-nantikan umat Islam di seluruh dunia. Dengan tema yang penuh keinsafan dan kerohanian, Ramadan bukan sekadar lagu, tetapi sebuah seruan untuk menghayati keindahan bulan penuh keberkatan ini.

Sebagai pencipta lagu, Ryzal Aziz yang berasal dari Johor Bahru, menyampaikan mesej mendalam tentang pentingnya beribadah dan memohon keampunan daripada Maha Pencipta. Lirik lagu ini turut menyeru umat Islam untuk memanfaatkan bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya, mengajak kita semua untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meningkatkan amal soleh.

Ramadan hadir dengan melodi balada perlahan yang penuh ketenangan. Diiringi oleh alat muzik cello dan strings, lagu ini menambah lagi kedalaman emosi yang ingin disampaikan. Kolaborasi Ryzal bersama jurutera suara Amyr Abadawn dan Felix yang bertanggungjawab dalam pengaturan dan penyempurnaan audio, menjadikan lagu ini begitu istimewa dan berkesan.

Ryzal yang juga merupakan komposer sepenuhnya untuk lagu ini menyatakan bahawa pembikinan Ramadan adalah lebih daripada sekadar sebuah lagu – ia adalah sebuah amanah dan pesanan untuk sesama umat Islam agar mempergunakan bulan Ramadan untuk meningkatkan ibadah, memohon keampunan, dan menggugurkan dosa.

“Saya berharap lagu ini dapat memberi kesedaran kepada kita semua untuk menggunakan kesempatan Ramadan dengan lebih baik, memperbanyakkan amal soleh dan menjadi hamba terbaik di sisi-Nya,” ujar Ryzal penuh harapan.

Ramadan dijangka akan menemui pendengar pada 21 Februari 2025, di semua platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube, Instagram, TikTok, Deezer, dan Prime Music. Muzik video rasmi akan turut disiarkan pada hari yang sama, memberikan peminat sebuah pengalaman visual yang menyentuh hati.

Ryzal Aziz, yang mula dikenali sebagai penyanyi kelab malam pada tahun 2000, memulakan kerjaya muzik arus perdana pada 2020 bersama kumpulan One Soul Band. Sejak itu, beliau telah menghasilkan beberapa lagu popular seperti Perpisahan, Pasrah di Aidilfitri, Aku Rela, Bunga, dan Curang, di bawah naungan Universal Music Malaysia. Kejayaan tersebut membuktikan kemampuan Ryzal dalam mencipta karya yang tidak hanya popular, tetapi juga bermakna.

Beliau turut menjayakan beberapa siri jelajah muzik di Jepun dan Singapura pada November 2024, dan kini sedang mempersiapkan dua lagi projek lagu baru untuk dilancarkan tahun ini. Salah satunya adalah lagu cover berjudul Di Sebalik Rahsia Hati, dan yang satu lagi adalah single terbaru berjudul Menggapai Bintang.