Selepas mencipta fenomena di Indonesia Arena, Jakarta dengan kehadiran lebih 12,000 penonton, penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini menerusi konsert Here I Am. Konsert mega ini bukan sekadar meraikan lebih dua dekad perjalanan seni Rossa, tetapi juga sebagai penghargaan buat peminat Malaysia yang telah menjadi sebahagian besar daripada kejayaannya. Menurut Rossa, Here I Am adalah hadiah istimewa dan simbol cinta buat peminat yang setia menyokongnya sejak awal kerjaya.
Lebih 25 lagu hit akan dipersembahkan, termasuk Tegar, Hati Yang Kau Sakiti, Aku Bukan Untukmu, dan Pudar, bersama barisan artis undangan istimewa seperti Hael Husaini dan kumpulan vokal wanita The Ladies yang dianggotai Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla. Tidak ketinggalan, penampilan istimewa dari Ariel Noah, Ernie Zakri, MK K-Clique serta DJ dan produser muzik Dipha Barus bakal memberikan kelainan dan tenaga baharu pada malam tersebut. Sebagai tanda sokongan terhadap bakat baharu tempatan, Rossa turut menampilkan finalis Top 4 One In A Million Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen.
Konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi serta pemasaran daripada Sah Entertainment ini menjanjikan malam penuh emosi dan magis buat peminat setia. Tiket berharga antara RM228 hingga RM788 (tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran) boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.my.
Untuk pembelian tiket korporat, orang ramai boleh menghubungi Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau e-mel ke rossa@yayasanprihatin.com. – Tehtariktimes