Rocketfuel Entertainment Sambut Raya dengan 3 Lagu Meriah Penuh Kegembiraan!

Sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini menjadi lebih bermakna dengan kemunculan tiga lagu Raya terbaru dari Rocketfuel Entertainment. Setiap tahun, Rocketfuel Entertainment sentiasa berjaya memberi kelainan dengan lagu-lagu Raya yang menghidupkan suasana perayaan. Pada tahun ini, bukan satu, tetapi tiga buah lagu baru bakal menjadi bualan ramai!

Dengan melodi yang catchy, lirik yang menghiburkan, serta tarian yang mudah diikuti, lagu-lagu Raya ini pasti akan menghiasi playlist musim perayaan anda dan menceriakan lagi suasana beraya. Bersedialah untuk menyanyi, menari dan merasai kemeriahan Raya dengan cara yang paling seronok!

Lagu pertama yang mencuri tumpuan adalah “Meriah Lain Macam” yang dibawakan oleh dua bintang popular, Hael Husaini dan Nadeera. Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, teaser lagu ini telah meraih lebih 5.3 juta tontonan dan lebih 5,000 ciptaan di TikTok! Lagu ini menceritakan kisah pasangan suami isteri yang bersiap-siap untuk pulang ke kampung beraya, dengan kelucuan dan kekecohan yang berlaku dalam persiapan tersebut.

“Saya ingin mencipta lagu yang menggambarkan suasana meriah, seronok dan penuh cabaran ketika pulang ke kampung untuk beraya. Saya harap lagu ini dapat membawa kegembiraan dan ‘mood’ Raya kepada semua,” kata Hael Husaini.

Lagu kedua, “Nyam Nyam Ketupat”, membawa tema yang sangat dekat dengan setiap orang semasa Raya – iaitu makanan! Dengan melodi yang mengasyikkan dan lirik yang lucu, lagu ini dilengkapi dengan elemen ketupat sebagai simbol utama. Lagu ini dinyanyikan oleh Wani Kayrie, Dinda Dania, Missalvy, dan Zizan Razak.

“Proses rakaman dan penggambaran MV sangat menyeronokkan. Kami tidak hanya menyanyi, tetapi juga menari dengan gerakan yang mudah diikuti. Paling kelakar apabila Zizan Razak menari! Saya yakin lagu ini akan menjadi kegemaran ramai dan mencipta trend ‘tarian Nyam Nyam Ketupat’,” kata Wani Kayrie.

Lagu ketiga adalah “Dam Dim Dum Raya” yang dicipta dan dinyanyikan oleh Nadeera. Lagu ini merupakan single solo Raya pertamanya dan menandakan kemunculannya sebagai pencipta lagu. “Dam Dim Dum Raya” menggambarkan kegembiraan yang dirasai pada penghujung Ramadan dan keterujaan menyambut Syawal bersama keluarga dan sahabat.

“Saya amat bersyukur dapat merakamkan dua lagu Raya tahun ini. Dengan lagu ini, saya ingin menyampaikan sisi kreatif saya dan memberikan sesuatu yang istimewa untuk peminat,” kata Nadeera, yang turut mencipta lagu ini bersama pasukannya.

Dengan tiga lagu Raya istimewa daripada Rocketfuel Entertainment, sambutan Raya 2025 dijangka akan lebih meriah dan penuh warna-warni. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati lagu-lagu ini yang pastinya bakal menjadi kegemaran ramai sepanjang musim perayaan.

Ketiga-tiga lagu ini kini boleh didengarkan di platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music, dan YouTube Music. Selain itu, jangan lupa untuk menantikan pelancaran video muzik rasmi yang akan menghiburkan lagi suasana perayaan!