Filem aksi epik tempatan Blood Brothers Bara Naga telah mencetuskan fenomena luar biasa di pawagam seluruh Malaysia. Disutradarai oleh Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, filem ini menggabungkan aksi mendebarkan dengan emosi yang mendalam, memukau penonton dan meraih kutipan sebanyak RM9.2 juta hanya dalam dua hari tayangan rasmi yang bermula pada 8 April lalu.
Menembusi lebih 170 pawagam di seluruh negara, Blood Brothers: Bara Naga mencatatkan angka tontonan tertinggi di negeri-negeri seperti Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu, menjadikannya antara filem tempatan dengan capaian tayangan paling meluas. Fenomena ini membuktikan bahawa karya tempatan yang berkualiti masih mendapat sambutan luar biasa, terutamanya apabila ia membawa tema aksi, emosi dan nilai persaudaraan yang dekat di hati penonton.
Filem ini terus menjadi perbualan hangat di seluruh platform media sosial dengan pujian demi pujian daripada peminat filem tempatan. Kualiti produksinya dianggap sebagai penanda aras baharu dalam dunia perfileman aksi tempatan.
Pengulas filem Hadam Project menyifatkan filem ini sebagai salah satu filem tempatan yang paling dinantikan tahun ini dan mungkin filem aksi tempatan yang paling mengagumkan dari segi visual yang pernah dihasilkan.
Laman Facebook pengulas filem Suka Filem turut memuji Blood Brothers bukan sekadar filem, tetapi satu ledakan emosi dan aksi yang tidak memberi peluang untuk kita bernafas. Syafiq Yusof kali ini benar-benar keluar dari zon selesa dan membawa penonton menyelam dalam lautan emosi daripada rasa kehilangan, marah membara, dendam yang menjerut jiwa, hingga ke detik-detik kecil yang menyentuh hati.
Abang Riak pula menyatakan tidak keterlaluan jika dia katakan ini adalah karya terbaik Syafiq Yusof setakat ini. Dari segi aksi, skrip, tempo, teknikal dan visual semuanya terasa sempurna. Setiap elemen berada di tempat yang tepat. Babak pertarungan pula bertaraf antarabangsa; brutal, kemas dan penuh impak.
Pelakon seperti Syukri, Sharnaaz, Syafiq dan Kepeng turut mendapat pujian atas persembahan mantap mereka. Pelakon Fikry Ibrahim turut meluahkan rasa kagum lakonan semua pelakon Blood Brothers sangat smooth dan seimbang. Masing-masing memberi komitmen penuh dan berjaya menghidupkan watak dengan begitu natural. Tahniah kepada semua pelakon, pengarah dan penulis skrip. Gabungan yang cukup rempah hasilnya memang menjadi. Satu kejayaan yang wajar diberi pujian kepada seluruh pasukan produksi. Memang puas hati, langsung tak rasa rugi.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kehebatan Blood Brothers Bara Naga di pawagam berdekatan anda. Rasai sendiri detik-detik penuh ketegangan, emosi dan aksi yang akan mengubah landskap filem aksi tempatan. Ini bukan sekadar filem, tetapi pengalaman sinematik yang epik dan mengujakan.
Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, ikuti Blood Brothers: Bara Naga di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube Primeworks Studios.