Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menutup tahun 2024 dengan pencapaian luar biasa, meraih pendapatan tertinggi dalam sejarah industri muzik tempatan dan terus mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa. Meskipun berhadapan dengan cabaran daripada kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang, RIM tetap teguh dalam komitmennya untuk memperkasa industri muzik tempatan, melindungi hak cipta, serta memberi sokongan penuh kepada semua penggiat dalam ekosistem muzik negara.
Tahun 2024 menyaksikan lonjakan besar dalam pendapatan industri muzik tempatan, yang mencatatkan peningkatan 11.5%, mencecah RM339 juta berbanding RM304 juta pada tahun sebelumnya. Kejayaan ini memecahkan rekod pendapatan tertinggi yang pernah dicatatkan, iaitu RM315 juta pada tahun 1996. Peningkatan signifikan ini disumbangkan oleh hasil pendapatan digital yang melonjak 14%, serta kutipan royalti yang meningkat sebanyak 7.6% daripada tiga Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) muzik utama di Malaysia.
Sepanjang 2024, RIM terus memacu populariti muzik tempatan melalui program ‘Carta RIM’ yang memaparkan lagu-lagu paling banyak distrim di Malaysia dalam tiga bahasa utama. Disiarkan secara mingguan di stesen radio milik Astro Radio seperti ERA, Hitz, dan MY, program ini berjaya menarik pendengar setia dengan purata 4.8 juta pendengar untuk ERA, 2.2 juta pendengar untuk Hitz, dan 2.4 juta pendengar untuk MY setiap hari Sabtu, dengan siaran ulangan pada keesokan harinya.
RIM turut menjalin kerjasama erat dengan stesen penyiar rasmi dalam penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi ke-24, yang dinantikan ramai peminat muzik di tanah air.
Lagu dan Artis Paling Popular Tahun 2024
- Lagu Tempatan Paling Tinggi Distrim: “Masing Masing” oleh Ernie Zakri dan Ade Govinda
- Lagu Antarabangsa Paling Tinggi Distrim: “Die With A Smile” oleh Lady Gaga dan Bruno Mars
- Lagu Cina Tempatan Paling Tinggi Distrim: “在加納共和國離婚” oleh DIOR dan Firdhaus
- Artis Tempatan Paling Tinggi Distrim: Insomniacks
- Artis Antarabangsa Paling Tinggi Distrim: Taylor Swift
- Artis Cina Tempatan Paling Tinggi Distrim: Firdhaus
Beberapa penyanyi Malaysia turut mencipta kejayaan gemilang di luar negara pada 2024. Ernie Zakri dan Ade Govinda meraih Anugerah “Soundtrack Sinetron Paling Ngetop (OST)” di Indonesia, sementara Hael Husaini pula membawa pulang Anugerah “Lagu Tema Terbaik” di Asia Academy Creative Awards 2024. Penyanyi Shila Amzah terus menyinar di Asia, menjadi finalis dalam program ‘Singing with Legends’ di China, manakala kumpulan Dolla turut mewakili Malaysia dalam program realiti ‘Show It All’ di negara yang sama.
Firdhaus Farmizi mencipta kejayaan di industri Mandopop dengan duetnya bersama DIOR menerusi “Divorce in Ghana” yang mencecah 17 juta aliran di Spotify. Dalam program realiti China, Azora Chin (You Zhangjing) muncul sebagai pemenang termuda dalam sejarah ‘Call Me by Fire’, manakala Jeryl Lee menduduki tempat kedua dalam ‘The Next Singer’ di China. Penyanyi Zubir Khan turut meraih perhatian antarabangsa apabila video muziknya “Yennode Macha” mencapai 17 juta tontonan di YouTube.
RIM terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh undang-undang hak cipta di negara ini, dengan memperjuangkan pindaan kepada Akta Hak Cipta untuk melanjutkan tempoh perlindungan daripada 50 tahun kepada 70 tahun, sejajar dengan piawaian antarabangsa. Selain itu, RIM juga mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menggubal undang-undang yang membolehkan penggunaan lagu berhak cipta dalam latihan model muzik AI dengan kebenaran pemilik hak cipta.
RIM tidak teragak-agak untuk bertindak tegas dalam membanteras cetak rompak dengan melaksanakan serbuan dan penyingkiran penjual yang melanggar hak cipta di platform e-dagang dan premis perniagaan. Selain itu, RIM turut memberikan sokongan kepada pengamal industri muzik yang menghadapi kesulitan melalui program ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik (SRIM)’. Sejak dilancarkan pada April 2024, lebih 48 pengamal industri muzik tempatan telah menerima bantuan.
Rosmin Hashim, Pengerusi RIM, menegaskan bahawa usaha RIM dalam membangunkan industri muzik tempatan sudah membuahkan hasil yang memberangsangkan. “Dengan pelbagai inisiatif untuk memperkasa industri muzik dan melindungi hak cipta, kami yakin industri muzik tempatan akan terus berkembang dan berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif RIM, lawati laman web rasmi www.rim.org.my atau ikuti kami di media sosial Facebook dan Instagram.