Rezza Shah Diberi Peluang Kedua, Mampukah Rezza Terus Bersinar?

Drama penuh debaran mewarnai pentas Calpis Soda On In A Million (CSOIAM) minggu lepas apabila Rezza Shah hampir tersingkir selepas mempersembahkan lagu “Obses.” Namun, keputusan yang mengejutkan ini diubah apabila juri menggunakan kuasa veto, memberi Rezza peluang kedua untuk terus bertahan dalam pertandingan. Detik yang penuh ketegangan ini menarik perhatian ramai, memberikan ruang kepada Rezza untuk kembali bersaing dalam program berprestij ini.

Rezza Shah, seorang penyanyi berusia 22 tahun dari Kuching, Sarawak, memulakan karier muziknya pada usia 8 tahun. Ketika suara beliau berubah pada usia 12 tahun, beliau terpaksa berlatih keras untuk mencari semula identiti vokalnya. Dengan pengalaman yang luas dalam dunia seni, Rezza terus mengasah bakatnya dalam pelbagai cabang muzik.

Dalam episod pertama CSOIAM, Rezza berkongsi perasaannya, “Saya memang sedikit gementar apabila berhadapan dengan juri hebat seperti Ziana Zain, Datuk Yusry, dan Cakra Khan. Walaupun gementar, saya tahu saya perlu memberikan yang terbaik. Apabila diumumkan tersingkir, saya memang sedih, tetapi saya redha. Namun, apabila diberi peluang kedua dengan imuniti, saya terkejut dan berjanji akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin.”

Episod pertama CSOIAM menyaksikan kejutan besar apabila daripada 20 peserta terpilih, hanya 14 yang berjaya mara ke minggu kedua. Selain Rezza, peserta lain yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal adalah Yusriansyah, BFORE3, BOISOVER, Iqmal Romi, Esther, dan Jill Gaisah. Walaupun persaingan semakin sengit, setiap peserta memberikan yang terbaik, mempersembahkan vokal hebat dan penghayatan yang mantap dalam usaha mereka untuk digelar ‘satu dalam sejuta’.

Kemunculan bekas juara One In A Million serta ikon legenda KRU pada malam pembukaan turut menambah kemeriahan dan memberikan kejutan kepada penonton. Dengan penampilan luar biasa 20 peserta, persembahan ini bukan sekadar hiburan tetapi satu peristiwa epik yang menjadi perbualan seluruh negara. Hashtag #OIAM turut menduduki trending nombor 1 di platform “X”, dengan lebih 700 juta capaian di media sosial, menjadikan CSOIAM lebih dari sekadar rancangan realiti – ia adalah fenomena yang menyatukan peminat muzik di Malaysia.

Minggu hadapan, tema “Melodi Indah, Segar Membara” akan mempersembahkan lagu-lagu hit yang pernah memukau peminat suatu ketika dahulu dengan sentuhan baru yang lebih segar. Dapatkah peserta Top 14 memukau juri dan penonton dengan X-faktor mereka? Saksikan persembahan mereka secara eksklusif di TV3 setiap Ahad, jam 9.00 malam, atau strim secara HD melalui Tonton di laman sesawang rasmi di tonton.com.my/calpissodaOIAMTV3.

Jangan lepaskan peluang untuk mengundi peserta kegemaran anda! Setiap minggu, peminat berpeluang memenangi hadiah utama berupa PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000. Undian akan dibuka pada minggu hadapan, dengan keputusan mingguan ditentukan berdasarkan 60% markah daripada juri profesional dan 40% undian penonton. Daftar di Tonton untuk mendapatkan 10 undian percuma, dan tingkatkan peluang peserta pilihan anda dengan membeli Calpis di Shopee untuk menebus baucar eksklusif yang memberi tambahan 50 undian.

Untuk mengimbas kembali sorotan terkini, saksikan “Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal” yang akan bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam mulai 26 Disember. Ikuti @CalpisSodaOIAMTV3 di media sosial untuk kemas kini dan perkembangan terkini, serta nikmati keunikan rasa yang menyegarkan bersama Calpis Soda musim ini!