ASTRO RAYA 2025: HIBURAN ‘MERIAH LAIN MACAM’ MENANTI ANDA

Menyambut kehangatan Syawal dengan gaya tersendiri, Astro peneraju hiburan di Malaysia kembali dengan sambutan Raya yang lebih meriah dan penuh warna. Tahun ini, Astro membawakan lebih 160 kandungan eksklusif yang dirancang khas untuk seisi keluarga. Dari siaran televisyen hingga ke platform digital dan radio, semuanya disusun dengan teliti bagi memastikan Aidilfitri lebih bermakna. Lebih menarik lagi, semua program ini boleh dinikmati tanpa henti secara on-the-go bermula malam Raya.

Saban tahun, iklan Raya menjadi pelengkap yang dinantikan, ada yang menyentuh emosi, ada yang mencuit hati. Tahun ini, Astro mengekalkan tradisi dengan ‘Lain Macamnya Raya’, sebuah kisah menyentuh jiwa tentang Jumaah, seorang ibu tunggal yang teguh memegang tradisi, namun diuji dengan kehadiran menantu yang berlainan adat. Dalam pertembungan antara warisan dan perubahan, Jumaah akhirnya menyedari makna sebenar kebahagiaan dalam keluarga. Iklan berdurasi 8 minit ini diarahkan oleh Hyrul Anuar (Think Tank) dengan kerjasama Naga DBB, menampilkan bintang ternama seperti Ellie Suriaty, Mierul Aiman, Qasrina Karim, dan ramai lagi.

Menurut Naib Presiden, Melayu, Antarabangsa, Kanak-kanak & On Demand Astro, Azlin Reza Azmi, “Tema Raya tahun ini membawa semangat kekeluargaan yang lebih mendalam. Kami ingin memastikan penonton bukan sahaja terhibur, tetapi juga merasai kehangatan Syawal bersama keluarga dan insan tersayang. Daripada drama dan telefilem penuh emosi, program hiburan berwarna-warni, hingga komedi dan muzikal yang menceriakan semuanya dirancang untuk memastikan setiap detik Raya lebih bermakna. Iklan Raya kami, ‘Lain Macamnya Raya’, juga menyampaikan mesej penting bahawa kemanisan Syawal hadir apabila kita terbuka menerima kelainan. Harapan kami, santapan hiburan sepanjang Syawal ini mampu menyatukan keluarga dan sahabat handai. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.”

Bukan sekadar program hiburan, Astro juga berkolaborasi dengan Rocketfuel untuk menghasilkan dua lagu Raya istimewa tahun ini: ‘Meriah Lain Macam’ dendangan Hael Husaini dan Nadeera Zaini, serta ‘Nyam Nyam Ketupat’ yang menampilkan gabungan Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania, dan Miss Alvy menambah lagi keceriaan di hari lebaran.

Astro bakal menceriakan Aidilfitri tahun ini dengan pelbagai program menarik di saluran kegemaran ramai. Bermula 1 Syawal, 12 telefilem baharu menanti penonton di Astro Ria, Astro Prima, dan Astro Ceria. Astro Ria (saluran 104) menampilkan kisah cinta dan konflik keluarga seperti Rapun, Cinta Untuk Sekali Lagi Raya, dan Dia Punya Hati karya Siti Rosmizah. Astro Prima (saluran 105) pula membawa telefilem mesra keluarga seperti Terculik Sana Tertukar Sini, Jemaah Penanggan Kg Lenggong, dan Setia di Hujung Ingatan. Sementara itu, Astro Ceria (saluran 611) menghiburkan si cilik dengan Bintang Dari Beaufort serta OSOM, kisah pengembaraan penuh fantasi.

Turut menemani Syawal ini, tujuh drama Ramadan Raya seperti Dia Imamku, Seribu Tahun, Honey Minta Maaf, dan siri baharu Astro Originals: First Wives. Program variasi dan hiburan juga memeriahkan suasana, termasuk MagiSiti 2025 bersama Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Gegar Vaganza 11 Raya, serta pelbagai sitkom dan komedi seperti Sepahtu Kecoh Beraya, Healing With Zizan Raya, dan Gerak Geri Gen Z.

Bagi peminat sukan, Astro Arena (saluran 801) hadir dengan rancangan khas seperti Bola Dulu Baru Kamu dan Rumah Terbuka Nadi Arena. Sementara peminat filem boleh menikmati Qodrat 2 dari Indonesia bermula 17 April 2025, serta filem aksi tempatan paling dinanti, Keluang Man, di pawagam 29 Mei 2025. Di Astro First, filem Harimau Merah: Konflik Bermula dan Emp4t boleh mula dilanggan pada 27 Mac 2025.

Aidilfitri tahun ini pasti lebih meriah dengan pelbagai pilihan hiburan untuk seisi keluarga di Astro!

Astro Gempak menyajikan pelbagai program digital menarik sempena Raya, termasuk Travel EV Balik Ganu — pengembaraan tiga pempengaruh pulang beraya dengan kereta elektrik, Borak Dulu Baru Kamu Raya Special bersama Datuk Syafinaz Selamat, Fadhli Masoot, dan Noki K-Clique, drama vertikal Hey! Kita Lain tentang empat sahabat mengejar impian, serta Reunion Raya Special bersama pelakon dan pengarah filem Kahar: Kapla High Council.

Astro Radio memeriahkan Syawal dengan program seperti Plus One ERA untuk beraya bersama personaliti ERA, Berlagu Beraya BORNEO dengan hiburan artis Sabah & Sarawak, Lemang Drive Thru SINAR yang mengedarkan lemang percuma, Jelajah Raya Pata Timo oleh GEGAR ke rumah pendengar Pantai Timur, serta Kad Raya ZAYAN, pertandingan reka bentuk kad Raya berhadiah wang tunai.

Astro menyambut Ramadan dan Raya tahun ini dengan pelbagai kempen menarik. Melalui kempen “Menangi Bermacam-macam Hadiah dengan Astro One”, pelanggan berpeluang memenangi hadiah bernilai hingga RM200,000, termasuk perkakas rumah, barangan elektrik, dan baucar. Tawaran ini berlangsung dari 1 Februari hingga 26 April, terbuka kepada pelanggan baharu yang melanggan di outlet terpilih atau secara dalam talian, serta pelanggan sedia ada yang menaik taraf ke Astro One atau menambah Astro Fibre.

Sempena pelancaran video muzik ‘Nyam Nyam Ketupat’, peminat berpeluang bertemu secara eksklusif dengan Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania, dan Miss Alvy di empat lokasi terpilih. Acara ini akan menampilkan persembahan tarian, peluang bergambar bersama selebriti, serta pengagihan cenderahati eksklusif seperti Paket Raya Astro dan kurma.

Selain itu, Pesta Meriah Lain Macam Astro bakal memeriahkan tiga lokasi utama — Suria KLCC (15-16 Mac), Dataran Merdeka (22 Mac), dan Pavilion Kuala Lumpur (23 Mac). Acara ini dimeriahkan dengan aktiviti menarik serta kehadiran selebriti popular seperti Nadhir Nasar, Meerqeen, Mierul Aiman, Faizal Hussein, Hael Husaini, Nadeera Zaini, dan Kamal Adli.

Untuk lebih kemeriahan Raya, Astro turut memperkenalkan stiker eksklusif Raya Astro di WhatsApp yang boleh dimuat turun melalui aplikasi MyAstro.

Astro Fibre juga melancarkan kempen “WiFi Kencang Tak Sangkut-Sangkut” bermula 17 Mac, menampilkan Hawa Rizwana dan Didi & Friends dalam lagu istimewa. Pelanggan boleh menikmati penstriman lancar dengan tawaran WiFi Kencang 500Mbps serendah RM90/bulan. Maklumat lanjut boleh didapati di astro.com.my/fibre.

Astro Kasih terus menyebarkan kebaikan melalui Program Kasih Ramadan dengan menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Ikhlas bersama ERA Sarawak, yang berlangsung pada 25 Februari 2025 di Miri. Orang ramai yang ingin turut serta boleh menyumbang melalui akaun RHB Bank Berhad – Yayasan Astro Kasih (21412900254230).

Pada 21 Mac, Astro Kasih bekerjasama dengan Radio Zayan dan Adabi untuk mengedarkan 1,500 bubur lambuk kepada warga emas dan komuniti di Pusat Jagaan Mahmudah, Semenyih.

Inisiatif ini diteruskan di Dataran Merdeka pada 22 Mac 2025 menerusi kempen RASA Bubur Lambuk Rewang Wira, melibatkan 50 sukarelawan Astro, selebriti seperti Faizal Ismail, Nana Mahazan, dan Anas Tahir. Radio ZAYAN juga akan bersiaran langsung dari lokasi bermula 8 pagi hingga 10 pagi.