Ramayan Mewarnai Muzik Tempatan Dengan Single Terkini Samudera

Single terbaru dari Ramayan ini merupakan satu ‘pemanasan’ sebelum pelancaran album penuh terbaru mereka yang dinamakan ‘Ini Adalah Ujian Transmisi’. Kumpulan muzik psychedelic tempatan, Ramayan sekali lagi mewarnai skena muzik tempatan dengan pengumuman pelancaran single terbaru mereka, Samudera.

Lagu ini diilhamkan oleh Pi’e, sebagai satu surat penghargaan kepada isterinya, Marine yang merujuk kepada lautan atau sesuatu yang disampaikan dengan penggunaan perkataan bahasa Sanskrit tersebut. Pada dasarnya adalah salah satu asal-usul bahasa Melayu.

Menurut Pi’e, “Dengan lagu ini kami ingin membawa pendengar ke dalam sebuah kisah tentang penghargaan yang mendalam terhadap kebesaran hati seorang wanita, lebih-lebih lagi seorang isteri ataupun ibu, yang sebesar lautan itu sendiri.”

Samudera muncul kembali selepas single pertama mereka, DENDANG! yang telah menerima sambutan yang menggalakkan dari para peminat muzik tempatan sejak pelancarannya pada Disember tahun lalu. 

Samudera akhirnya mengambil tempat terhormatnya dalam senarai lagu utama, meskipun awalnya dianggap sebagai trek bonus dalam album kerana keunikan bunyinya yang berbeza daripada yang lain. “Disebabkan kedalaman emosi yang terkandung dalam melodi dan lirik lagu ini, kami percaya bahawa lagu ini wajib menjadi salah satu lagu utama dalam album ini.” luah Izzat.

Tambah Que, “Lagu ini dengan sendirinya mempunyai sifat yang menenangkan dengan iramanya yang sayu dan sepoi-sepoi. Dari segi susunan muzik, kami telah berusaha sebaik mungkin untuk menghasilkan bunyi-bunyian yang menekankan unsur-unsur tersebut dalam lagu ini.”

Omar dengan yakin berkata, “Disebabkan rentak dan iramanya yang ala 70an, lagu ini seolah-olah sesuatu yang biasa kita dengari, yang mungkin memberi perasaan nostalgia kepada pendengar. Namun tidak ada satu lagu pun di Malaysia yang sepertinya. Di situ juga salah satu keunikan lagu ini, pada pendapat kami.” 

Ramayan juga ingin membawa pendengar melalui sebuah perjalanan spiritual yang mendalam melalui Samudera. Oleh itu, Ramayan mengundang pendengar untuk merenung, menyerah, bersyukur dan rendah diri apabila menghadapi kebesaran alam kerana lagu ini mempersembahkan bersama visualizer yang menawan di YouTube walaupun pada luarannya lagu ini merupakan sebuah lagu cinta terhadap kekasih hati, tetapi di dalamnya juga terdapat sebuah lagu cinta kepada Sang Pencipta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *