Rafizi Ramli Umum Peletakan Jawatan

Rafizi ramli Rafizi ramli

Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri, yang akan berkuat kuasa mulai 17 Jun 2025. Dalam kenyataan rasmi bertarikh 28 Mei, beliau memaklumkan bahawa surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Perdana Menteri, dan beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan bermula hari ini sehingga tarikh akhir perkhidmatannya. Rafizi menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat susulan kekalahan beliau dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, yang menurutnya telah menamatkan mandat beliau daripada parti untuk meneruskan agenda reformasi rakyat dalam kerajaan. Beliau menegaskan bahawa dalam amalan demokrasi yang matang, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti wajar memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk menyumbang dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam kenyataan itu juga, Rafizi merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi atas sokongan padu yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau memimpin kementerian tersebut. Beliau memuji kecekapan penjawat awam yang mampu merangka dasar serta melaksanakan program-program yang berkesan demi memperkukuh struktur ekonomi negara. Antara pencapaian utama yang disempurnakan semasa tempoh perkhidmatannya ialah penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang telah dimuktamadkan dan akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang. RMK13, menurutnya, memberi tumpuan kepada reformasi pendidikan yang menyeluruh serta beberapa perubahan struktur penting melibatkan Kementerian Pendidikan. Beliau berharap agar Jemaah Menteri akan terus mempertahankan reformasi berani ini walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan.

Mengakhiri kenyataan tersebut, Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, media, serta semua pemegang taruh yang telah bekerjasama dengannya sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi. Beliau menyifatkan perjalanan membina struktur ekonomi yang kukuh dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi masih jauh, namun perlu diteruskan dengan keputusan-keputusan jangka panjang yang berani, walaupun sukar dan mencabar, demi kepentingan generasi masa hadapan.