Pertubuhan Wartawan dan Artis Seni (PWAS) bakal menganjurkan Malam Makan Amal PWAS 2025 yang turut diserikan dengan majlis perlantikan penaung baharu, Dato’ Abdul Nasser bin Abu Kassim.
Dato’ Abdul Nasser, warga Malaysia yang berpengalaman luas dalam bidang penerbangan dan korporat, pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Flynas Haji dan Umrah di Arab Saudi dari tahun 2008 hingga 2011. Beliau juga merupakan antara pasukan pengurusan perintis AirAsia sejak 2002, memegang pelbagai jawatan utama termasuk Pengarah Eksekutif, Pembangunan Perniagaan serta Pengarah Negara AirAsia Indonesia dari 2004 hingga 2006.
Dengan kepakaran hampir dua dekad dalam industri muzik bersama Warner Music Malaysia, di mana beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Artis & Repertoir serta Pengarah Eksekutif, Dato’ Abdul Nasser diyakini mampu menyumbang kepakaran dan jaringan pengalaman dalam memperkasakan PWAS.

Penganjuran Malam Makan Amal PWAS 2025 ini membawa misi untuk mematuhi segala garis panduan pihak berkuasa tempatan, melaksanakan program yang selari dengan matlamat pertubuhan serta menjaga nama baik PWAS sepanjang penganjuran acara.
Matlamat utama program ini adalah untuk mengumpul dana bagi tabungan PWAS, khususnya dalam usaha menjaga kebajikan anak-anak seni yang memerlukan sokongan kewangan pada waktu-waktu tidak diduga. Selain itu, program ini juga berperanan menerapkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, bantu-membantu, semangat setia kawan dan perpaduan dalam kalangan ahli pertubuhan serta masyarakat yang terlibat.
PWAS yakin penganjuran majlis ini bukan sahaja dapat memperkukuh solidariti komuniti seni, malah menjadi platform berkesan dalam usaha kebajikan serta pembangunan sahsiah warga seni di Malaysia.