Selepas mencipta fenomena pada tahun lepas, Astro kini kembali melangkaui sempadan penceritaan industri hiburan tempatan dengan mempersembahkan kisah yang berani dan taboo menerusi siri premium Astro Originals terbaharunya, ‘Project; Exit’. Siri terbitan Astro Shaw bersama Telltale Studios Sdn Bhd ini mengisahkan perjalanan empat orang remaja yang berkomplot untuk mencari jalan keluar daripada pusat pemulihan akhlak. Siri ini bakal bersiaran pada 1 November 2024, jam 9 malam di Astro Premier (saluran 110) dan Astro Citra (saluran 108).
Mengangkat isu yang semakin meruncing dalam kalangan remaja Project; Exit mengetengahkan masalah kesihatan mental yang sering kali dipandang remeh di Malaysia. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2023, 1 daripada 4 remaja di Malaysia bergelut dengan masalah kemurungan, dan 1 daripada 10 pernah cuba untuk membunuh diri. Data ini menjadi latar belakang bagi siri ini yang berusaha membuka ruang perbincangan mengenai masalah kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja.
Project; Exit mengisahkan perjalanan empat remaja yang berada di pusat pemulihan akhlak INSAN dan berkomplot untuk melarikan diri dari tempat itu. Jannah, watak utama dalam siri ini, dihantar ke INSAN selepas percubaan bunuh dirinya gagal. Di sana, dia menemui diari peninggalan bapanya yang mendedahkan rahsia mengenai pusat tersebut dan rancangan untuk melarikan diri. Dalam usahanya untuk membebaskan diri, Jannah bertemu dengan Hadi, seorang remaja lelaki yang menghidap Fibrosis sista, serta dua rakan lain, Ucop dan Amy. Bersama-sama, mereka merancang pelarian mereka walaupun berhadapan dengan trauma dan tekanan emosi yang menyelubungi kehidupan masing-masing.
Siri ini lebih daripada sekadar kisah pelarian. Ia juga membincangkan perjuangan watak-wataknya untuk melawan trauma dan ketakutan dalaman mereka. Walaupun mereka terperangkap dalam persekitaran yang mencabar, harapan tetap menjadi pegangan mereka, manakala persahabatan antara mereka menjadi sumber kekuatan. Kisah ini penuh dengan momen-momen emosional dan pengkhianatan, yang menambah elemen drama dan saspens sepanjang siri.
Zulaikha Zakaria, pengarah dan showrunner Project; Exit, menjelaskan bahawa siri ini diinspirasikan daripada cabaran kesihatan mental yang semakin ketara selepas pandemik COVID-19. “Saya ingin mencipta siri yang mengangkat isu kesihatan mental dengan cara yang bermakna, tanpa menakutkan penonton. Tujuan saya adalah untuk membuka ruang perbincangan mengenai topik yang sering dianggap tabu di Malaysia,” kata Zulaikha. Beliau turut berkongsi bahawa proses mengarahkan siri ini membawa banyak cabaran, terutama dalam menyampaikan tema yang berat sambil memastikan emosi dan pengalaman pelakon dipertimbangkan. Zulaikha berharap Project; Exit mampu mencetuskan empati dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap mereka yang berdepan dengan isu kesihatan mental.
Dibintangi oleh pelakon berbakat seperti Shasha Abedul (Jannah), Mierul Aiman (Hadi), Naim Daniel (Ucop), dan Kimberly Chuah (Amy), siri ini turut menampilkan bintang terkenal seperti Nabila Huda (Ibu Zan), Farah Ahmad (Salina), dan Tengku Nur Kamalia (Izzah). Setiap pelakon memainkan peranan penting dalam membawa watak-watak yang kompleks ini ke layar kaca, memberikan pengalaman yang penuh emosi dan realistik kepada penonton.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Project; Exit merupakan kesinambungan daripada siri popular Projek: Anchor SPM dan Projek: High Council, yang juga merupakan sebahagian daripada Project Universe. Beliau menambah, “Dengan Project; Exit, kami ingin mengangkat isu sosial yang semakin kritikal, terutamanya kesihatan mental dalam kalangan remaja. Kami berharap siri ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menggalakkan penonton untuk menyokong generasi muda kita yang berdepan dengan cabaran kesihatan mental.”
Sebagai sebahagian daripada usaha promosi, Astro memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan memberikan peranan kepada barisan pelakon utama Project; Exit untuk mengambil alih platform media sosial X rasmi Astro Gempak. Melalui inisiatif ini, pelakon-pelakon akan menawarkan sokongan dan dorongan peribadi kepada pengguna, dengan matlamat untuk mewujudkan suasana dalam talian yang lebih positif dan penuh empati. Selain itu, penonton boleh melayari laman web rasmi siri ini di http://www.gempak.com/project untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut atau mendapatkan bantuan berkaitan kesihatan mental.
Bagi peminat siri premium Astro Originals, empat episod pertama Project; Exit akan mula bersiaran pada 1 November 2024 di Astro On Demand, Astro GO, dan sooka. Bahagian kedua, yang merangkumi episod 5 dan 6, akan disiarkan pada 15 November 2024. Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan terkini dan klip-klip menarik di akaun media sosial Astro Gempak dan Astro Shaw dengan tanda pagar #ProjectEXIT dan #AstroOriginals.
Sebagai tambahan, Astro turut menawarkan JUALAN JIMAT BESAR dengan langganan serendah RM41.99 sebulan beserta pemasangan percuma. Nikmati siri terbaik dan kandungan eksklusif hanya di Astro. Untuk maklumat lanjut, layari http://astro.com.my.