PRESMA & PRIMAS RAYU KELONGGARAN DASAR PEKERJA ASING DEMI KELANGSUNGAN INDUSTRI RESTORAN

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) mewakili ribuan pengusaha restoran Muslim dan restoran India di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Restoran nasi kandar serta nasi daun pisang yang terkenal ini memainkan peranan penting dalam industri makanan negara.

Namun, kelangsungan operasi restoran-restoran ini kini tergugat akibat kekurangan tenaga kerja yang semakin meruncing. Ini berpunca daripada keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Mac 2024 untuk menghentikan pengambilan pekerja asing secara serta-merta. Keputusan tersebut memberi kesan besar kepada pelbagai industri, termasuk perniagaan restoran yang bergantung kepada pekerja asing kerana kekurangan minat pekerja tempatan dalam sektor ini.

PRESMA dan PRIMAS kini merayu kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mempertimbangkan beberapa langkah berikut demi memastikan industri restoran terus berdaya saing dan mampu beroperasi seperti biasa:

  1. Mengembalikan Dasar ‘Gantian Pekerja’
    PRESMA dan PRIMAS mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan semula dasar ‘Gantian Pekerja’. Melalui dasar ini, pengusaha restoran dibenarkan menggantikan pekerja yang telah pulang ke negara asal dengan pekerja baharu berdasarkan ‘Checked-Out Memo’ di kaunter imigresen. Dasar ini pernah diamalkan sebelum ini dan mampu mengurangkan permohonan baharu untuk pekerja asing.
  2. Melanjutkan Had Umur Pekerja kepada 60 Tahun
    Kami juga merayu kepada kerajaan agar menaikkan had umur pekerja asing daripada 45 tahun kepada 60 tahun. Kebanyakan pekerja yang berusia lebih 45 tahun masih sihat dan berupaya menjalankan tugas mereka dengan baik. Langkah ini akan membantu menampung kekurangan tenaga kerja dalam sektor restoran.
  3. Menangguhkan Sistem Levi Berperingkat
    PRESMA dan PRIMAS turut mencadangkan agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem levi berperingkat (multi-tier levy system) sehingga masalah kekurangan tenaga kerja diselesaikan dan ekonomi kembali stabil. Sistem levi ini akan meningkatkan kos pengambilan pekerja asing, seterusnya memberi tekanan kepada kos operasi restoran dan menyebabkan kenaikan harga makanan, yang akhirnya membebankan pengguna.

Kedua-dua persatuan ini menegaskan bahawa industri restoran di Malaysia, terutamanya yang beroperasi 24 jam, amat memerlukan tenaga kerja yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik.

PRESMA dan PRIMAS percaya langkah-langkah yang dicadangkan ini mampu membantu pengusaha restoran mengatasi cabaran yang dihadapi, memastikan kesinambungan perniagaan mereka, dan mengekalkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.

PRESMA dan PRIMAS menyeru kerajaan untuk memberikan perhatian serius terhadap isu ini demi kepentingan pengusaha restoran dan pengguna di seluruh negara.