Para penganjur acara pertandingan fesyen berprestij, Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week (ICFW), yang berlangsung di Menara Affin @ Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, telah mengumumkan bahawa para pemenang akan mendapat peluang eksklusif untuk melangkah ke Paris pada tahun hadapan.
Pertandingan International Cultural Fashion Week (ICFW) yang diadakan sempena festival Precious Of Malaysia tahun ini menyaksikan penganjur, Jonathan dan Farel Mikhail (FM Group) memberi dedikasi kepada pelajar institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk sama-sama terlibat tunjukkan bakat.
Kali ini empat IPT telah dipilih iaitu Taylor’s University, ESMOD Kuala Lumpur, Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM Shah Alam) dan Kolej Komuniti Selayang mengambil bahagian.
“Kami tidak mahu kemenangan mereka hanya berakhir dalam pertandingan ini, sebaliknya kami merancang membawa rekaan mereka ke Paris.
“Kalau ikut perancangan yang disusun dan telah mendapat persetujuan, mereka akan ke Paris pada Jun tahun depan.
“Dalam program itu, para pemenang ini akan bawa rekaan fesyen mereka yang bertemakan budaya Malaysia ini ke sana. Beberapa program telah diatur dan akan diumumkan kelak.
“Ini satu peluang keemasan buat mereka apabila bakal memperkenalkan budaya Malaysia ke Paris. Dalam masa yang sama, pereka fesyen muda dari Paris juga akan menyertai Precious Of Malaysia.
“Jadi, kita boleh nampak perkongsian budaya yang berbeza sekaligus menaikkan imej pereka fesyen muda dari Malaysia,” ujar Jonathan.
Jonathan dan Farel Mikhail ditemui media di acara pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week (ICFW) di Menara Affin @ Tun Razak Exchange (TRX), pada 3 Ogos 2024.
Dalam pertandingan ini, sebanyak 23 jenama berentap dan menampilkan keunikan masing-masing.
Pereka muda Afiq Syazani merangkul juara sekaligus mengetepikan pesaing hebat lain iaitu naib juara Rashid Moshi, UiTM (tempat ketiga) dan Zuramir (tempat keempat).
Selain jenama-jenama tempatan, wakil dari negara luar iaitu Indonesia dan Filipina turut memberikan saingan sengit.
Bukan itu sahaja, menurut Farel Mikhail, pemenang diberi keistimewaan untuk memperagakan rekaan mereka di hadapan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang mencemar duli hadir ke Malam Gala Precious Of Malaysia yang berlangsung pada 4 Ogos 2024 di Menara Affin @ TRX.
“Ini juga satu penghargaan buat para pemenang apabila dapat menampilkan hasil rekaan mereka di hadapan Sultanah Nur Zahirah nanti.
“Koleksi yang dibawa oleh peserta Precious Of Malaysia kali ini sangat mengagumkan. Sebenarnya agak terkejut juga dengan hasil rekaan mereka. Kami sangat bangga dengan pencapaian luar biasa mereka.
“Tambahan pula, kami telah menguar-nguarkan lebih awal tentang pertandingan fesyen ini menerusi media dan media sosial.
“Menang atau kalah, soal itu nombor dua. Apa yang lebih penting adalah masing-masing ada kekuatan dan keunikan tersendiri. Ini secara tak langsung, baik peserta dari dalam atau luar negara, mereka telah menaikkan elemen budaya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Menurut Farel lagi, dalam pertandingan ini, hasil rekaan dinilai dari empat sudut iaitu motif, kreativiti, koleksi dan rekaan itu sendiri.
“Hasil usaha mereka dalam memenuhi empat kriteria ini telah memberi gambaran di mana tahap mereka dan sebagai persediaan untuk bersaing secara sihat dengan pereka-pereka fesyen di luar sana.
“Misalnya, kalau lihat rekaan daripada tim UiTM sebenarnya sudah boleh berdiri hebat sebaris pereka-pereka fesyen dalam pasaran,” ujarnya.
Precious Of Malaysia mendapat sokongan padu daripada Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, menjadikannya sebuah inisiatif yang amat istimewa dalam memartabatkan warisan dan kebudayaan negara kita.
Selain itu, antara penaja yang turut serta menyokong acara ini adalah Affin Bank Berhad, Vivo, Pavilion Damansara Heights, MyCar, Sunshine Asia Group, Famous Amos, Ascott Kuala Lumpur dan banyak lagi.
Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.
Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos. Orang ramai dijemput hadir memakai tanjak bagi memeriahkan lagi acara.
Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights mensasarkan 1001 orang hadir memakai tanjak pada hari tersebut.