Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menegaskan pendirian untuk membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak Muslim Friendly Watch yang mengeluarkan perakuan “Muslim Choice” kepada para peniaga, seolah-olah bertindak sebagai satu bentuk tanda atau sijil Halal. Tindakan ini disifatkan sebagai percubaan mengelirukan pengguna dan dilihat menyalahi peruntukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurut PPIM, akta tersebut dengan jelas memperuntukkan bahawa hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang diberi kuasa sah untuk mengeluarkan pensijilan Halal di negara ini. Mana-mana pihak lain yang mengeluarkan sebarang bentuk label, logo, atau perakuan yang menyerupai sijil Halal dianggap melakukan kesalahan di sisi undang-undang.
PPIM berpandangan bahawa kegiatan yang dilakukan oleh Muslim Friendly Watch amat berbahaya kerana boleh menghakis kepercayaan dan keyakinan pengguna Islam terhadap sistem pensijilan Halal di Malaysia. Kewujudan dua pihak berbeza yang mengeluarkan perakuan berkaitan Halal berisiko menimbulkan kekeliruan bukan sahaja dalam kalangan pengguna dan peniaga, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Ia boleh menjejaskan reputasi JAKIM sebagai satu-satunya badan pensijilan Halal yang sah dan diiktiraf di Malaysia.
Dalam kenyataannya, PPIM menegaskan bahawa isu Halal merupakan perkara yang sangat sensitif kerana ia melibatkan akidah dan keyakinan umat Islam. Oleh itu, sebarang bentuk eksploitasi, komersialisasi, atau permainan dalam hal ini perlu dibendung segera bagi menjaga kesucian dan integriti pensijilan Halal Malaysia.
PPIM turut menyeru agar pihak Muslim Friendly Watch menghentikan segera semua kegiatan mengeluarkan perakuan “Muslim Choice” yang boleh disalahertikan sebagai sijil Halal. Pihak berkuasa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 juga digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau organisasi yang melanggar undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna Islam dan mengekalkan kepercayaan terhadap sistem pensijilan Halal negara.
PPIM turut mengingatkan seluruh pengguna Islam agar sentiasa berwaspada dan hanya merujuk kepada Logo Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM atau MAIN sebagai satu-satunya tanda yang sah dan diyakini. PPIM menegaskan bahawa semua pihak perlu bersatu mempertahankan kredibiliti dan integriti sistem Halal Malaysia yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa agar tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Bersama Kembalikan Hak & Maruah Dengan Bijaksana.”