Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi menjadi medan pertemuan para peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia apabila “Latihan Pestapora Malaysia 2025” berlangsung penuh gilang-gemilang pada malam Sabtu lalu. Acara anjuran bersama Hitman Solutions dan Boss Creator itu berjaya memecah sempadan hiburan serantau menerusi kolaborasi dua hala antara artis dua negara.
Dengan membawa konsep “latihan” menjelang edisi utama Pestapora di Jakarta yang dijadualkan pada 5 hingga 7 September nanti, festival ini membuka tirai dengan lebih 25 persembahan mantap di dua pentas utama, menampilkan barisan artis pelbagai genre dari pop, rock, indie, hip-hop hingga dangdut, sekaligus mempamerkan warna-warni muzik Asia Tenggara kepada ribuan penonton.
Kemunculan Sheila On 7 menjadi detik paling bersejarah dalam acara ini. Kumpulan legenda dari Yogyakarta itu tampil buat julung kalinya di Malaysia selepas lebih satu dekad, dan sambutan yang diterima cukup luar biasa. Stadium bergema dengan suara ribuan peminat menyanyikan lagu-lagu hit mereka seperti Dan, Melompat Lebih Tinggi, Sephia, Kita dan Sahabat Sejati membuktikan bahawa nostalgia dan cinta terhadap SO7 kekal abadi.
Latihan Pestapora Malaysia 2025 bukan sekadar tentang nama besar, tetapi juga memberi ruang kepada kepelbagaian suara dan nuansa muzik. Barisan artis termasuk .Feast, Hindia, Nadin Amizah, Pamungkas, Kunto Aji, Bittersweet, Bunkface, Dolla, Salammusik, Sonaone, Yonnyboii dan ramai lagi menjadikan dua pentas – “Main Stage” dan “Hingar Bingar” meriah dari siang hingga malam, tanpa henti.

Menurut Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, kejayaan festival ini membuktikan bahawa Malaysia kini bersedia untuk menjadi tuan rumah acara muzik bertaraf antarabangsa. “Latihan Pestapora adalah simbol kejayaan budaya dan satu pencapaian besar buat industri hiburan tempatan. Kami berjaya membawa satu jenama festival luar ke sini, sekaligus menjadikannya milik semua,” katanya.
Sementara itu, Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator berkata, “Latihan” ini bukan hanya sekadar pemanasan menuju Jakarta, tetapi permulaan satu gerakan budaya baharu yang membina komuniti serantau. “Ia lebih daripada konsert. Ia adalah pergerakan,” tambah beliau.
Meskipun diinspirasikan daripada festival asal di Jakarta, edisi Malaysia ini disuntik dengan elemen lokal seperti ruang vendor makanan Malaysia, aktiviti interaktif serta ruang bergambar yang sesuai untuk seisi keluarga. Ia memberikan pengalaman yang holistik dan menyeluruh buat pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

Melihat kepada sambutan yang amat memberangsangkan, pihak penganjur menyatakan kesediaan untuk mengangkat Latihan Pestapora sebagai festival tahunan di Malaysia. “Kami teruja melihat respon luar biasa ini dan berhasrat memperbesarkan skala penganjuran tahun hadapan,” ujar Rohit.
Festival ini turut mendapat sokongan padu dari rakan media, penaja serta organisasi berkaitan. Antara yang turut sama menjayakan acara ialah Era FM, Hitz, Mix, Sinar, THR Gegar, Syok, Lobak Merah, World of Buzz, Tapau, Batik Air, Book Cabin, Sunway Putra Hotel, D’Mart Travel Tour, Universal Music Malaysia dan Tourism Malaysia.
Dengan kejayaan sulung Latihan Pestapora Malaysia 2025 ini, satu perkara pasti semangat muzik serumpun sedang berkembang pesat, dan Malaysia kini bersedia menjadi nadi utama festival muzik rantau ini.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian +6012-2655783 atau emel ke concerts@hitman.group. – Tehtariktimes