Pejam celik, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) sudah pun berada di minggu separuh akhir, dan persaingan semakin sengit! Dalam episod keenam yang lalu, kesemua peserta diberi peluang berduet dengan bintang-bintang terkenal seperti Marsha Milan, Aisha Retno, Shiha Zikir, Khai Bahar, Haqiem Rusli, dan Amir Masdi. Persembahan mereka penuh dengan emosi dan bertenaga, memikat hati penonton. Namun, sayangnya, Eylia Guntabid terpaksa mengucapkan selamat tinggal setelah perjalanan hebatnya dalam pertandingan ini.
Kini, pentas separuh akhir memasuki minggu yang lebih mencabar dengan tema Melodi Cerita Kita. Tema ini akan menyaksikan semua peserta Top 5 membawakan lagu-lagu ikonik daripada OST drama dan filem yang pasti akan mengingatkan kita kepada kenangan silam. Tema ini bukan sahaja memberikan peluang kepada peserta untuk menunjukkan kemampuan vokal mereka, tetapi juga menguji sejauh mana mereka dapat menghayati setiap lagu yang disampaikan, penuh dengan emosi dan karakter.
Apa yang lebih menarik lagi, pentas separuh akhir kali ini akan dikejutkan dengan penampilan istimewa daripada Search, kumpulan rock lagenda tanah air yang pasti menggegarkan pentas dengan dua lagu malar segar, Gelora Cintaku dan Fantasia Bulan Madu. Setelah sekian lama mereka tidak beraksi secara langsung, kemunculan mereka kali ini pastinya akan mengubat kerinduan para peminat dan menambahkan lagi keceriaan malam separuh akhir.
Bukan itu sahaja, episod kali ini turut memperkenalkan Shila Amzah sebagai juri jemputan. Dengan pengalaman yang luas dalam industri muzik, serta pencapaiannya yang mengagumkan di peringkat antarabangsa, Shila akan bergandingan bersama juri tetap CSOIAM, Dato’ Yusry, Ziana Zain, dan Cakra Khan. Gabungan juri-juri ini sudah pasti akan memberikan komen yang kritikal namun membina kepada setiap peserta, memberikan mereka peluang untuk memperbaiki diri dalam usaha merebut gelaran juara dan hadiah bernilai RM 1 juta!
Di penghujung rancangan, kejutan istimewa menanti apabila Ade Govinda, komposer berbakat dari Indonesia, akan membuat penampilan khas bersama Cakra Khan. Mereka akan mempersembahkan dua lagu hit mereka, Masing-Masing dan Kamu Adalah, yang pasti akan menambah kemeriahan dan memberikan penonton satu pengalaman muzik yang luar biasa. Kehadiran Ade Govinda yang terkenal dengan karya-karya hits di Indonesia pasti memberikan warna baru pada pentas CSOIAM minggu ini.
Kini, hanya tinggal lima peserta yang berjuang untuk merebut tempat di pentas finale CSOIAM. Marygrace, Jimi, Zazleen, Mariam, dan Kai Deva masing-masing akan tampil dengan lagu-lagu ikonik yang dijamin akan menggoncang pentas separuh akhir. Mariam akan membawakan Di Pintu Syurga, Kai Deva dengan Srikandi Cintaku, Zazleen dengan Sehati Sejiwa, Marygrace akan menyanyikan Satu Harapan, dan Jimi akan membawakan Sedetik Lebih. Lagu-lagu ini bukan sahaja menguji kebolehan vokal mereka, tetapi juga menguji kesungguhan mereka dalam menyampaikan emosi setiap cerita yang terkandung dalam liriknya.
![](https://tehtariktimes.com/wp-content/uploads/2025/02/POSTER_EPISODE_7-810x1024.jpg)
Dengan gabungan markah juri (60%) dan undian penonton (40%), keputusan setiap minggu menjadi semakin penting. Jangan lepaskan peluang untuk menyokong peserta kegemaran anda! Anda boleh mengundi dengan pelbagai cara yang mudah. Pengguna baharu Tonton akan mendapat 10 undian percuma setelah mendaftar, manakala pengguna sedia ada akan menerima 10 undian percuma setiap minggu secara automatik. Selain itu, pembelian produk Calpis di Shopee memberikan peluang untuk memperoleh baucar eksklusif yang memberikan tambahan 50 undian untuk setiap pembelian produk Calpis.
Bersedialah untuk menyaksikan setiap detik yang mendebarkan, penuh dengan kejutan, persembahan ikonik, dan drama yang tidak boleh dilepaskan! Episod ketujuh Calpis Soda One In A Million yang bertemakan Melodi Cerita Kita pastinya akan menjadi malam yang penuh emosi, dan kita akan menyaksikan perjalanan Top 5 yang semakin hampir ke pentas finale.
Jangan lupa untuk menonton secara langsung di TV3 pada hari Ahad, jam 9.00 malam atau strim dalam HD di Tonton. Ikuti juga perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk menjadi sebahagian daripada fenomena luar biasa ini. Siapa yang bakal berjaya menempah tiket ke pentas finale? Saksikan secara langsung perjalanan mereka menuju ke puncak CSOIAM!