Astro, sebagai peneraju utama kandungan dan hiburan di Malaysia, terus memperkukuh usahanya dalam mencungkil dan mengetengahkan bakat tempatan menerusi penganjuran musim terbaharu program realiti popular, Kilauan Emas 2025. Hadir dengan pendekatan segar dan lebih inklusif, program ini bakal menemui penonton mulai 16 Ogos 2025, setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).
Susulan kejayaan musim terdahulu pada 2024, edisi kali ini tampil dengan beberapa pembaharuan strategik, termasuk penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun, membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu dalam kalangan generasi otai. Format baharu ini turut memperkenalkan penglibatan juri awam yang terdiri daripada wartawan dan pelanggan setia Astro, serta elemen penceritaan yang lebih menyentuh hati – menjadikan Kilauan Emas bukan sekadar pertandingan, malah platform inspirasi untuk peserta menyerlahkan potensi sebenar mereka.
Penyertaan Lebih 500 Individu Pelbagai Latar Menyerlah
Sesi uji bakat yang berlangsung pada Mei dan Jun lalu di Miri, Johor, dan Shah Alam menerima sambutan luar biasa dengan lebih 500 penyertaan daripada pelbagai latar belakang. Selain kehebatan vokal, peserta turut mempamerkan bakat dalam bidang persembahan lain seperti lakonan dan tarian, mempamerkan keunikan dan kepelbagaian seni yang dimiliki.
Pengurus Saluran Astro Prima, Idlan Zahari berkata, “Musim ini menyaksikan perubahan ketara dari segi kriteria penyertaan dan format produksi. Kami teruja melihat sambutan yang hangat dan percaya Kilauan Emas kekal sebagai platform yang menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik dan budaya.”
Tambahnya lagi, penyertaan daripada individu yang datang daripada keluarga seni turut memberi makna mendalam, membuktikan bahawa minat terhadap seni bukan sahaja kekal, malah diwarisi generasi ke generasi.
12 Peserta Utama & Barisan Juri Hebat
Musim ini menyaksikan 12 peserta solo berumur 43 hingga 65 tahun seperti Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay yang membawa kekuatan dan keunikan tersendiri dalam usaha merebut gelaran juara.
Pengacaraan utama dikendalikan oleh Elly Mazlein, dengan Joey Daud selaku pengacara belakang pentas serta hos Diari Kilauan Emas. Barisan juri menampilkan gandingan menarik iaitu Erra Fazira, Roy Azman, dan penyanyi bersuara emas, Ning Baizura. Turut diperkenalkan ialah Zarul Husin sebagai hos Spotlight dan Keanu Azman serta Sarah Karmila sebagai hos Live+.
Penjurian & Fakta Menarik Kilauan Emas 2025
- Pemarkahan peserta dibahagikan kepada:
• 70% juri profesional
• 20% juri awam (penonton jemputan)
• 10% undian peminat dari rumah - Juara akan membawa pulang RM30,000 beserta trofi eksklusif sumbangan Astro
- Penonton boleh mengundi peserta kegemaran mereka setiap minggu secara dalam talian di laman Astro Gempak
- Kilauan Emas 2025 turut bekerjasama dengan Astro Gempak (rakan digital), serta SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi
- Boleh distrim menerusi Astro GO, Ultra/Ulti Box, dan aplikasi sooka
Jadual Siaran Kilauan Emas 2025
Konsert Mingguan
Mulai 16 Ogos 2025, setiap Sabtu | 9.00 malam
Lokasi: Royal Theatre Shah Alam
Saluran: Astro Prima (105) + On Demand
Diari Kilauan Emas
Mulai 11 Ogos 2025, setiap Isnin – Jumaat | 11.30 malam
Sorotan latihan, vokal, koreografi dan kisah belakang tabir peserta
Kapsul Profil Peserta
Mulai 5 Ogos 2025, setiap Selasa – Jumaat | 3.00 petang
Sorotan kisah dan latar belakang 12 peserta utama
Dengan format lebih inklusif dan elemen produksi yang ditambah baik, Kilauan Emas 2025 bukan sekadar pertandingan nyanyian – ia adalah pentas yang meraikan semangat, pengalaman dan impian generasi otai Malaysia. -Tehtariktimes