Pelancaran Selangor Creative Economy Expo 2025 & Pelan Ekonomi Kreatif Negeri

Kerajaan Negeri Selangor secara rasmi telah merasmikan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) dengan tema “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy.” Majlis bersejarah ini disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, bersama YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Negeri Selangor. Pelancaran ini menandakan permulaan era baharu dalam pertumbuhan industri kreatif negeri Selangor.

Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor menjadi tumpuan utama, dengan sasaran sumbangan KDNK sebanyak RM20 bilion menjelang 2035. Pelan ini memberi tumpuan kepada tiga strategi utama iaitu Pertumbuhan Kreatif Mampan, Penyertaan Inklusif, serta Pemeliharaan Warisan Budaya. Bagi memastikan kejayaan, enam pemangkin telah dikenal pasti, termasuk pembangunan bakat, pemerkasaan digital, akses pembiayaan, kesiapsiagaan infrastruktur, akses pasaran, dan tatakelola mantap.

Ekspo SCEE25 yang berlangsung pada 23–24 September 2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam berfungsi sebagai platform utama bagi mengaktifkan pelan ini. Antara pengisian utama ialah sesi townhall, forum, dan bengkel; CRE8Biz Xchange sebagai medium pemadanan perniagaan B2B, B2G, dan B2C; CRE8Fund iaitu Dana Mikro Kreatif Selangor untuk pembiayaan syarikat pemula; CRE8Stage yang menampilkan pameran, persembahan dan pengalaman interaktif; serta sesi rangkaian dan MoU bagi mengukuhkan kerjasama strategik merentas industri.

Menurut YB Najwan, ekonomi kreatif kini bukan lagi terhad kepada seni dan budaya, sebaliknya ia memainkan peranan penting dalam penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pemacu inovasi, pengukuhan sektor pelancongan, serta pembinaan identiti global untuk Selangor. Industri kreatif negeri ini telah menyumbang sekitar RM8–10 bilion kepada KDNK pada 2022, dengan potensi pertumbuhan kukuh dalam sektor media digital, filem, reka bentuk, seni budaya, dan warisan. Melalui pelan tindakan ini, nilai tersebut disasarkan berganda menjelang 2035.

Ekspo ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bersama Selangor Youth Community (SAY) dengan sokongan rakan strategik dari sektor awam dan swasta. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.selangorcreative.com atau menghubungi Selangor Youth Community melalui e-mel di hello@selangorcreative.com.