Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua dalam kejadian tragis yang berlaku pagi tadi.
Menurut sumber, insiden berkenaan berlaku sekitar jam 9.30 pagi apabila suspek dipercayai membawa senjata tajam, disyaki sebilah pisau, ke kawasan sekolah sebelum menyerang mangsa.
Difahamkan, selain mangsa utama yang meninggal dunia, pelajar lelaki terbabit turut menikam seorang lagi pelajar dalam kejadian sama. Mangsa kedua dilaporkan mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut, manakala suspek kini berada dalam tahanan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca dan motif serangan tersebut. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat bersama pasukan pegawai penyiasat dilaporkan berada di tempat kejadian untuk mengumpul bukti dan keterangan saksi.
Pihak media sedang menunggu sidang akhbar rasmi yang dijangka diadakan oleh polis bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden ini.
Tragedi yang mengejutkan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat, terutama berkaitan isu keselamatan di kawasan sekolah serta kesejahteraan mental pelajar.
Kredit : Berita Harian