KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2026 – Kempen Tonton Non Stop, On Top! melabuhkan tirai dengan hampir 20,000 penyertaan sepanjang tempoh kempen, menyaksikan Engku Harith Amsyar, 22, seorang pelajar dari Kuantan, Pahang, muncul sebagai pemenang hadiah utama bagi pusingan terakhir.
Kemenangan tersebut membolehkan Engku Harith membawa pulang sebuah kereta GAC EMKOO 1.5L Turbo bernilai RM123,800.
Bagi pusingan keempat yang berlangsung dari 27 Julai hingga 9 Ogos 2026, Engku Harith berjaya mengumpul sebanyak 107,153 mata ganjaran, sekali gus melayakkan dirinya memenangi hadiah utama yang ditawarkan.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Engku Harith mengakui masih terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang. Menurutnya, beliau pada mulanya hanya menonton pelbagai kandungan di Tonton sambil mengumpul mata ganjaran tanpa meletakkan sebarang harapan untuk memenangi hadiah utama.
“Saya masih belum memberitahu keluarga dan rakan-rakan mengenai kemenangan ini kerana ingin memberikan kejutan kepada mereka. Saya bercadang membawa pulang kereta ini sebagai hadiah istimewa buat keluarga, selain menggunakannya untuk urusan harian dan perjalanan pulang ke Kuantan nanti,” ujarnya.
Lebih istimewa, GAC EMKOO 1.5L Turbo tersebut merupakan kereta pertama yang dimilikinya sebagai seorang pelajar, menjadikan kemenangan ini sesuatu yang sangat bermakna buat dirinya dan keluarga.
Engku Harith turut tidak sabar untuk membawa ibu bapa dan adik-adiknya menikmati masa bersama dengan kereta baharu tersebut.
Kemenangan itu diraikan menerusi majlis penyampaian hadiah yang berlangsung pada 19 Ogos 2026 di GAC Motor Petaling Jaya. Majlis tersebut turut dihadiri Crystal Lee, Pengarah Jualan dan Kerjasama Strategik, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima Television Networks, serta Loh Ling Howe, Ketua Pegawai Operasi Komersial, WTC Automotif (M) Sdn. Bhd.
Sepanjang kempen Tonton Non Stop, On Top!, sebanyak empat buah kenderaan dimenangi sebagai hadiah utama menerusi empat pusingan, selain pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan kepada peserta.
Pengguna boleh menantikan kemunculan semula Tonton Non Stop, On Top! pada tahun hadapan dengan lebih banyak kejutan, hadiah istimewa serta pengalaman menarik untuk dinikmati bersama Tonton.
Terus ikuti Tonton untuk mendapatkan perkembangan terkini serta menikmati pelbagai kandungan menarik yang tersedia di platform tersebut. Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan kegemaran anda, ikuti Tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram menerusi @tontonmy.












