Naib juara program realiti nyanyian popular Mentor 7, Pasya kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul Aku Bukan Cinta, sebuah lagu balada yang sarat emosi dan dekat dengan realiti kehidupan.
Diterbitkan di bawah label Seventeen Eleven Music, lagu ini merupakan hasil ciptaan duo komposer berbakat besar, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh — yang sebelum ini menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-39 — dengan lirik sepenuhnya ditulis oleh Ikhwan Fatanna.
Kehadiran Aku Bukan Cinta bukan sekadar membawa kisah tentang perpisahan dan kehilangan cinta, tetapi turut menjadi simbol kekuatan untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberi kebahagiaan.
Menurut Pasya atau nama sebenar Faizul Ashraff Fauzi, lagu ini amat dekat di hatinya dan penuh dengan perasaan yang tulus. “Single Aku Bukan Cinta adalah lagu balada yang cukup emosional, membawa kisah tentang luka dalam hubungan apabila cinta tidak dihargai. Ia bukan sekadar lagu tentang putus cinta, tetapi juga kisah mengenai kekuatan untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberi bahagia.
“Sejujurnya, kali pertama saya mendengar demo lagu ini, saya terus jatuh hati kerana melodinya sangat kuat dan liriknya begitu dekat dengan realiti kehidupan. Saya percaya ramai yang pernah melalui pengalaman seperti dalam lagu ini, jadi saya rasa ia ada ‘jiwa’ yang mampu menyentuh hati pendengar,” katanya.
Pasya turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh sebagai sesuatu yang amat berharga dalam perjalanan seninya. “Ikhwan memberikan sentuhan lirik yang puitis namun mudah difahami, manakala Wan Saleh pula mengangkat lagu ini dengan susunan muzik yang moden, segar dan penuh perasaan. Saya rasa sangat beruntung dapat belajar daripada mereka.
“Dari segi mesej, Aku Bukan Cinta membawa nilai keberanian untuk menerima hakikat apabila sesuatu hubungan tidak lagi sehaluan. Walaupun perit, kadang-kadang kita perlu lepaskan demi kebahagiaan diri sendiri dan juga orang yang kita sayang. Lagu ini adalah tentang keikhlasan dan doa agar orang yang pernah kita cintai tetap bahagia,” ujar Pasya lagi.
Berkongsi mengenai proses rakaman, Pasya mengakui cabaran utama adalah untuk benar-benar menghayati setiap bait lirik agar penyampaian vokalnya sampai ke hati pendengar dengan jujur dan tulus. Baginya, Aku Bukan Cinta adalah permulaan baharu yang mencerminkan kematangan dan evolusi dalam perjalanan seninya.
“Saya harap peminat dapat merasai kejujuran yang cuba saya sampaikan. Jika lagu ini dapat menjadi penguat semangat kepada mereka yang pernah terluka dalam percintaan, itu sudah cukup bermakna bagi saya. Aku Bukan Cinta bagi saya adalah fasa baru yang lebih dewasa dalam kerjaya seni saya,” tambahnya.
Dengan melodi yang indah, susunan muzik yang segar serta mesej yang menyentuh jiwa, Aku Bukan Cinta diyakini mampu mencuri hati para pencinta muzik tanah air. Single ini kini boleh distrim di semua platform digital dan turut tersenarai di stesen radio utama termasuk Era FM. Video muzik rasmi Aku Bukan Cinta juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music melalui pautan https://youtu.be/wwDJrzYmWjE?si=WvT8lsZtGPPayc1A.