Para Samurai & XPDC Gegar Zepp Kuala Lumpur Dengan Konsert Metalkestra Yang Luar Biasa!

Republic Mokhmah Records telah merealisasikan impian peminat tegar XPDC dengan menganjurkan konsert XPDC Metalkestra yang berlangsung penuh gegaran di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November 2025. Konsert ini menjadi bukti bahawa aura dan semangat rock XPDC masih hidup dan terus membara dalam hati peminat, sekaligus mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan rock tanah air.

XPDC yang dianggotai oleh Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu tampil dengan persembahan bertenaga dan karisma yang luar biasa. Konsert ini turut mengingatkan peminat kepada kejayaan konsert terdahulu seperti Konsert Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara dan Shah Alam pada tahun 1998. Namun kali ini, XPDC tampil dengan tema baharu — Metalkestra, yang menggabungkan elemen muzik metal dan orkestra bagi memberi pengalaman persembahan yang segar dan epik.

Menurut Encik Musa dari Republic Mokhmah Records, penganjuran konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi bukti bahawa muzik rock yang sering dilabel sebagai “rock kapak” masih relevan dan tidak pernah mati ditelan zaman. Beliau juga menambah bahawa kolaborasi dengan XPDC untuk mengangkat tema Metalkestra merupakan keputusan yang memberi nafas baharu kepada band legenda ini.

XPDC menjelaskan bahawa pemilihan tema Metalkestra merupakan langkah tepat untuk menambah nilai dan keunikan terhadap lagu-lagu mereka yang telah menjadi warisan dalam dunia muzik rock tempatan. “Peminat bukan hanya akan menikmati heavy metal yang sinonim dengan XPDC, tetapi gabungan orkestra ini akan menambah kemewahan dan keindahan pada setiap lagu yang dibawakan secara langsung,” kata Izo mewakili XPDC.

Beliau turut menambah, “XPDC Metalkestra adalah apresiasi kami terhadap semangat dan kesetiaan peminat yang tidak pernah pudar selama empat dekad kami berkarya. Konsert ini menjadi tanda aras bahawa XPDC tidak akan berhenti di sini — kami akan terus melangkah selagi semangat rock masih hidup.”

Lebih istimewa, konsert kali ini turut menampilkan dua vokalis yang pernah sinonim dengan nama XPDC — Ali dan Abang Gard — sebagai penyanyi undangan istimewa. Mereka tampil di pentas bersama anggota XPDC bagi memberikan persembahan penuh emosi dan bertenaga yang menggamit memori peminat lama.

Sebagai tambahan menarik, pihak penganjur turut mengadakan pertandingan pakaian terbaik bertemakan samurai serta cabutan bertuah bagi penonton. Dua pemenang bertuah yang hadir dengan kostum samurai terbaik menerima gitar Jackson Izo Signature, manakala cabutan bertuah turut dimenangi oleh Mohd Taufik. Pemenang pakaian terbaik pula disandang oleh Lan Black dan Nurul Shafika.

Lebih daripada 2,000 peminat membanjiri Zepp Kuala Lumpur, menjadikan konsert XPDC Metalkestra sebagai acara sold out yang penuh tenaga dan emosi. Antara lagu-lagu yang menghangatkan suasana termasuk Samurai, Talam Dua Muka, Raja Kertas, Cinta, Semangat Yang Hilang dan Hentian Ini. Konsert diakhiri dengan lagu For Whom the Bells Tolls, memberikan penutup yang penuh simbolik terhadap kekuatan dan semangat XPDC sebagai legenda rock Malaysia.

Barisan pemuzik XPDC Metalkestra terdiri daripada Mamu sebagai vokalis, Izo dan Arif di posisi gitaris, Eddie sebagai pemain bass, dan Lola di posisi dram. Turut menyertai mereka ialah pemuzik undangan seperti Mustakim Yusof (keyboard), Calie dari 4U2C dan Syafiq Ikhwan (vokal latar), bersama barisan pemuzik orkestra yang diketuai oleh Hadi Razli dan Khalid Reduan di bahagian biola serta Charissa Tan dan Rizki Ikhsan di bahagian selo.

Dengan paduan muzik metal dan orkestra yang megah, serta sorakan ribuan peminat, XPDC Metalkestra bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu sejarah baharu dalam perjalanan muzik rock tempatan. Ia menjadi bukti bahawa XPDC masih berdiri teguh sebagai simbol semangat, keberanian dan keabadian muzik rock Malaysia.