Papa Zola The Movie: Filem Baharu Terbitan MONSTA & Astro Shaw

Penerbit terkemuka Monsta, yang terkenal dengan kejayaan filem animasi BoBoiBoy dan Mechamato, kini mempersembahkan karya terbaru mereka hasil kerjasama dengan Astro Shaw Papa Zola The Movie. Setelah teaser filem ini dilancarkan, ia mencatatkan tontonan luar biasa, melebihi 2 juta tontonan di seluruh platform digital dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Watak ikonik Papa Zola, yang pertama kali diperkenalkan kepada penonton, telah menjadi kegemaran ramai di Malaysia dan Indonesia. Dikenali dengan gaya jenaka yang unik dan tagline “Kebenaran!”, Papa Zola bukan hanya mencuri tawa, malah turut mencetuskan fenomena dengan lebih 3 bilion tontonan menerusi meme dan video tular di media sosial. Kini, selepas populariti yang menggunung, Monsta membawa Papa Zola dari dunia maya ke layar perak melalui filem animasi penuh aksi dan komedi ini.

Papa Zola The Movie bakal memukau penonton dengan gabungan aksi mendebarkan, jenaka segar, serta elemen emosi yang kuat. Berlandaskan tema kekeluargaan dan keberanian, filem ini dijangka menjadi pilihan tepat untuk ditonton seisi keluarga pada musim cuti akhir tahun, dengan tayangan rasmi pada Disember 2025.

Nizam Abd Razak, Pengarah Papa Zola The Movie, menyatakan bahawa walaupun ini adalah kali ketiga Papa Zola muncul di layar perak selepas BoBoiBoy The Movie (2016) dan BoBoiBoy Movie 2 (2019), filem ini menampilkan beliau sebagai watak utama. Dalam filem ini, penonton akan disajikan dengan kisah asal-usul Papa Zola yang penuh aksi, drama kekeluargaan, serta cabaran pencerobohan makhluk asing, menjadikannya sebuah hiburan yang pasti dinikmati oleh seluruh keluarga.

Filem ini turut menyertai gelombang kejayaan animasi tempatan yang berkembang pesat, disokong oleh inisiatif #aniMY dan semangat #sapotlokal. Monsta terus memimpin industri animasi Malaysia dengan karya-karya bertaraf dunia yang berakar kepada nilai tempatan.

Dengan kehadiran aksi, humor, dan emosi yang mendalam, Papa Zola The Movie dijangka menjadi salah satu filem paling dinantikan pada tahun ini. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikannya di pawagam berhampiran pada Disember 2025!