Pahitnya Ujian: Erysha Emyra Terjerat Dalam Fasa Penderitaan

Beralih Ke Fasa Lebih Emosional, Aku Bukan Ustazah 2 Kini Mengisi Slot ‘Keluarga Itu’. Bermula 10 Mei 2025, drama bersiri popular Aku Bukan Ustazah kembali menghiasi slot malam anda setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam hanya di TV3. Musim baharu ini menjanjikan kisah yang lebih emosional dan berat, menyentuh realiti kehidupan yang penuh liku.

Diarahkan oleh Idora Abdul Rahman dan diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd, Aku Bukan Ustazah 2 menampilkan 35 episod yang membawa penonton menyelami dimensi baharu dalam kehidupan watak utama, Aminah. Drama ini menyentuh tema kasih sayang, pengorbanan, dendam, serta isu kesihatan mental dan kekeluargaan yang menyayat hati.

Barisan pelakon hebat seperti Erysha Emyra, MK K-Clique, Zahiril Adzim, Shaza Bae, dan Haneesya Hanee kembali menghidupkan watak yang pernah menjadi bualan ramai. Kemunculan mereka kali ini membawa naratif yang lebih mendalam dan mencabar emosi.

Kisah bermula dengan kebahagiaan Aminah (Erysha Emyra) dan Adam (MK K-Clique) yang kini hidup bersama anak mereka, Raykal, sambil menantikan kelahiran anak kedua. Namun, kebahagiaan itu tidak kekal apabila Omar (Zahiril Adzim) kembali dalam hidup mereka, mengungkit luka lama yang belum sembuh. Kehadirannya menimbulkan persoalan adakah dia benar-benar berubah, atau sekadar membawa muslihat tersembunyi?

Aminah kemudian berdepan tekanan demi tekanan yang menggugat kestabilan emosinya. Di tengah pergolakan itu, muncul seorang lelaki bernama Dr. Syafiq (Nabil Aqil), yang menjadi cahaya harapan buat Aminah dan membimbingnya ke arah pemulihan.

Menurut Erysha Emyra, musim kali ini mencabar dari segi emosi dan fizikal. “Watak Aminah kali ini sangat berat kerana memerlukan saya menjiwai emosi yang dalam, termasuk banyak babak menangis. Saya berharap penonton dapat merasai apa yang ditanggung oleh Aminah sepanjang perjalanan hidupnya.”

Aku Bukan Ustazah 2 bukan sekadar sambungan kisah lama, tetapi sebuah karya yang membuka ruang kepada kesedaran dan penghayatan tentang makna sebenar kehidupan, cinta dan keikhlasan.

Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Ikuti perkembangan drama ini melalui media sosial rasmi TV3 (@TV3Malaysia) dan Drama Sangat (@dramasangat) di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.