Jenama gaya hidup wanita terkemuka NONA, memulakan sambutan ulang tahun Jubli Delima ke-40 dengan penganjuran “NONA Media Soirée” bertempat di The Heritage Club, Royale Chulan Kuala Lumpur.
Acara eksklusif ini diadakan bagi memberikan pratonton awal terhadap acara kemuncak tahunan berprestij iaitu NONA Gala Awards 2026. Dibawakan bersama platform seeNI serta ditaja oleh SFJ, majlis bertemakan “An Afternoon Among Trailblazers & Icons” ini menghimpunkan rakan media dan pemain industri dalam meraikan perjalanan bersejarah jenama ini sejak tahun 1986.
Sambutan empat dekad ini membawa misi penting dalam menghubungkan pelbagai generasi wanita Malaysia. Daripada tokoh terdahulu yang meletakkan batu asas legasi kejayaan, kepada barisan ikon masa kini yang mencabar status quo, sehinggalah kepada bakat muda yang memacu perubahan, NONA terus berdiri teguh sebagai platform utama yang merakamkan evolusi aspirasi wanita rentas zaman.
Melalui “Media Soirée” ini, pihak penganjur memperkenalkan dua kategori anugerah baharu yang diperkenalkan sempena sambutan 40 tahun iaitu “NONA Rising 40 Under 40” dan “NONA People’s Choice Icons of the Year”. Kategori ini diwujudkan khas bagi meraikan kepimpinan anak muda serta memberi ruang kepada masyarakat untuk memilih individu yang benar-benar memberi impak dan inspirasi dalam kehidupan seharian.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim menegaskan bahawa sambutan ini bukan sekadar mengenang kegemilangan lalu, tetapi komitmen untuk memastikan NONA kekal relevan bagi generasi akan datang.













