Nikmati Malam Eksklusif Bersama Ari Lesmana di Kota Kinabalu Februari 2026

Ari Lesmana bakal mencipta detik istimewa buat peminat di Sabah apabila beliau diumumkan sebagai bakal mengadakan konsert solo pertamanya di negeri itu menerusi “Mangu Di Bawah Bayu”. Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 6 Februari 2026 di Sabah International Convention Centre ini dijangka menjadi pertemuan eksklusif antara penyanyi ikonik Indonesia tersebut dengan peminatnya di Borneo dalam sebuah malam yang sarat dengan emosi dan keintiman muzik.

Dikenali sebagai vokalis utama kumpulan Fourtwnty, Ari Lesmana membawa identiti muzik yang dekat dengan jiwa, penuh penceritaan dan kejujuran. Menerusi konsert ini, Ari tampil dengan konsep “Mangu”, sebuah gambaran perasaan termenung dan tenang yang sering menjadi teras kepada karya-karyanya, sekali gus mengajak penonton untuk meluangkan masa memperlahankan langkah dan menyelami emosi melalui muzik.

Penganjuran konsert ini oleh Sembang Kari Entertainment membuka lembaran baharu kepada landskap hiburan di Sabah dengan membawa persembahan solo berskala penuh yang dirancang secara teliti dari segi muzik, visual dan produksi. Ia bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah pengalaman yang dirangka untuk memberikan ruang refleksi, ketenangan dan hubungan yang lebih dekat antara artis dan penonton.

Malam istimewa itu turut diserikan dengan kolaborasi bersama DJ Firza dan Millvrd yang dijangka menambahkan elemen moden serta susunan muzik yang lebih segar dan dinamik. Gabungan ini dilihat mampu memperluaskan spektrum muzik Ari Lesmana, sekali gus memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu yang bakal dipersembahkan.

Bagi Ari Lesmana sendiri, peluang untuk kembali bertemu peminat di Borneo merupakan sesuatu yang amat dinantikan. Beliau menyifatkan Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan keindahan alam dan energi tersendiri, selari dengan jiwa “Mangu” yang ingin disampaikan. Ari turut mengajak peminat untuk hadir dan berkongsi detik istimewa bersama-sama, melepaskan rindu dan berkomunikasi melalui bahasa muzik di bawah bayu.

Tiket untuk “Mangu Di Bawah Bayu” telah mula dijual sejak 22 Disember 2025 dengan harga RM377 bagi kategori VIP dan RM177 bagi Festival Standing, tidak termasuk caj pemprosesan. Peminat juga boleh menikmati kemudahan pembayaran ansuran melalui SPayLater, PayLater by Grab dan Atome. Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.myticketempire.com.