Nidji Kembali Gegarkan Axiata Arena dalam Konsert Mega ‘Nidji 2.3: The New Chapter’

Lebih dari dua dekad berada dalam dunia muzik Indonesia, Nidji terus mewarnai industri muzik Nusantara dengan kehadiran yang tidak pernah pudar.

Setelah sekian lama diingati dengan lagu-lagu yang menjadi siulan ramai, kini Nidji kembali mencuri perhatian generasi baharu, terutamanya melalui aplikasi TikTok. Lagu ikonik mereka, Sumpah Dan Cinta Matiku, yang dihasilkan sebagai runut bunyi filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck pada 2013, telah menjadi hit semula di TikTok, menarik perhatian pendengar baharu dan lama, serta mengukuhkan semula nama Nidji di persada muzik.

Kembalinya Nidji dalam radar industri muzik bukan sahaja sekadar popular di media sosial, malah kugiran ini kini kembali sibuk dengan persembahan pentas. Malaysia merupakan salah satu destinasi utama yang menjadi tumpuan peminat Nidji, dan mereka kerap menerima undangan pentas di negara ini. Selepas menyertai pelbagai acara bersama pemuzik lain, kini Nidji bakal memberikan pengalaman eksklusif buat peminat mereka menerusi konsert berskala besar — NIDJI 2.3: THE NEW CHAPTER, konsert solo pertama mereka di Malaysia yang bakal diadakan pada 2 Februari 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Konsert yang diadakan sempena ulang tahun ke-23 Nidji ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi juga sebuah simbol kasih sayang dan penghargaan Nidji kepada peminat yang telah setia selama lebih dua dekad. Selain menghidangkan lagu-lagu popular seperti Hapus Aku, Sang Mantan, dan Disco Lazy Time, konsert ini juga menjadi platform untuk memperkenalkan album terbaru mereka yang dijadualkan rilis pada bulan November 2024. Dibawakan oleh penganjur MND Sport & Event, konsert NIDJI 2.3: THE NEW CHAPTER ini dijangka menjadi acara pembuka tirai tahun 2025 yang wajib dihadiri peminat muzik.

“Melihat sambutan peminat Nidji di Malaysia, kami di MND Sport & Event yakin bahawa sudah tiba masa untuk Nidji tampil dengan konsert solo mereka sendiri. Nidji memiliki katalog lagu-lagu hebat dan popular yang digemari bukan hanya oleh peminat lama, tetapi juga generasi baharu yang kini mengenali mereka melalui TikTok. Konsert ini akan membawa pengalaman muzik yang tidak terlupakan dan merapatkan jurang antara generasi peminat lama dan baharu,” kata Daniel Harith, wakil MND Sport & Event.

Bagi Nidji, konsert ini adalah peluang berharga untuk berhubung kembali dengan peminat lama sambil memperkenalkan diri kepada peminat baharu yang mungkin baru sahaja mengenal mereka. “Setelah bertahun-tahun tanpa konsert solo, NIDJI 2.3: THE NEW CHAPTER akan menjadi medan untuk kami beraksi secara eksklusif. Dengan semangat yang kami bawa sejak awal pembentukan band ini, kami akan menghidangkan persembahan penuh tenaga dan nostalgia buat semua yang hadir,” kata Nidji.

Nidji

Pengalaman konsert ini dijangka menjadi lebih istimewa dengan konsep dan susunan persembahan yang unik. Bagi mereka yang ingin menikmati keistimewaan tambahan, tiket VIP dan Meet & Greet Pass turut ditawarkan. Harga tiket konsert bermula dari RM108 (CAT 2) sehingga RM258 untuk kategori VIP, dengan penjualan rasmi bermula pada 8 November 2024, jam 3 petang menerusi platform ILASSOTICKETS.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan ikonik Nidji yang bukan sahaja dikenang dengan satu lagu, tetapi sebagai kugiran yang berjaya mempertahankan kedudukan mereka selama lebih 23 tahun. Jumpa anda di Axiata Arena pada 2 Februari 2025 ini!

INFORMASI

ARTIS: NIDJI

ACARA: NIDJI 2.3: THE NEW CHAPTER

TARIKH: 2 FEBRUARI 2025 

LOKASI: AXIATA ARENA, BUKIT JALIL

PENGANJUR: MND SPORT & EVENT

HARGA TIKET: CAT 1(RM168), CAT 2 (RM108), VIP (RM258), GENERAL ADMISSION (RM158), MEET & GREET PASS (RM198)

PEMBELIAN TIKET: ILASSOTICKETS

RAKAN MEDIA: ERA FM, SINAR FM DAN ASTRO GEMPAK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *