Penyanyi dan vokalis kumpulan Boboi, Naqiu, menegaskan bahawa keunikan dan keaslian masih menjadi nilai utama dalam mencari bakat baharu dalam dunia nyanyian. Ketika ditemui di majlis pelancaran The Ascott Star Rewards Festival 2025, Naqiu menyatakan bahawa kebanyakan peserta hari ini cenderung untuk meniru gaya artis popular yang sedia ada, sekali gus menenggelamkan potensi sebenar mereka.
Menurut Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, setiap kali menerima undangan sebagai juri pertandingan, beliau mencari mereka yang mampu tampil berbeza. “Saya lihat corak artis baharu sudah semakin sama. Ramai yang nak jadi seperti Ella, Datuk Awie atau Azlan Typewriter. Tapi kita perlukan kelainan, sesuatu yang tak pernah didengar sebelum ini,” ujarnya tegas.
Naqiu berpendapat, industri muzik tidak perlukan klon kepada artis sedia ada, sebaliknya lebih memerlukan wajah dan suara baharu yang mencerminkan identiti tersendiri. Bagi beliau, penyanyi yang hanya bergantung kepada lagu-lagu bernada tinggi juga perlu mengubah pendekatan mereka jika mahu bertahan lama dalam bidang hiburan. “Menyanyi bukan sekadar tentang nada tinggi. Lagu rendah juga boleh buat orang meremang jika dinyanyikan dengan jiwa,” katanya.
Naqiu juga mengakui bahawa terlalu banyak penyanyi yang tidak memiliki ‘faktor X’ menyebabkan sukar untuk menonjol dalam industri yang kompetitif. Katanya, dia sendiri tidak berminat mendengar peserta yang cuba menyanyi seperti dirinya. “Saya dah dengar suara saya sendiri bertahun-tahun. Bila orang cuba tiru pun, tak ada apa yang menarik,” tambahnya sambil tersenyum.

Menariknya, Naqiu kini kembali ke kerusi juri apabila diumumkan bakal mengadili pertandingan karaoke sempena The Ascott Star Rewards Festival 2025 bersama dua lagi penyanyi terkenal, Ara Johari dan Khai Bahar. Festival ini berlangsung dari hari ini hingga Ahad, bermula jam 10 pagi hingga 9.30 malam, bertempat di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota.
Setakat ini, sebanyak 250 peserta telah mendaftar untuk merebut peluang menyinar di pentas pertandingan tersebut. Paling menarik, pemenang utama bakal ditawarkan kontrak rakaman bersama Sony Music Malaysia, membuka laluan besar untuk memulakan kerjaya profesional sebagai artis rakaman.
Festival ini bukan sahaja menjadi platform bagi mereka yang berbakat tetapi juga medan terbaik untuk mencari permata terpendam dalam industri muzik tempatan. Naqiu menaruh harapan agar peserta tampil dengan keberanian dan identiti tersendiri, serta tidak takut untuk menjadi diri sendiri di pentas. – Tehtariktimes