Dunia kulinari menjadi pentas kisah cinta terbaharu dalam drama bersiri Me.N.U, dibintangi oleh Nabila Razali dan Andi Bernadee. Drama arahan Faliq Sharif ini mengangkat perjalanan seorang wanita yang berjuang mempertahankan impian untuk menjadi chef meskipun berdepan tentangan keluarga, cabaran kerjaya dan dilema perasaan.
Kisah bermula dengan Lisa (Nabila Razali), seorang chef muda yang kerjayanya tergugat selepas membela rakan sekerja yang dibuli. Tekad untuk membina restoran sendiri pula terbantut apabila permohonan pinjamannya ditolak oleh Haris (Andi Bernadee), seorang pegawai bank. Pertemuan yang bermula dengan ketegangan itu akhirnya menumbuhkan benih cinta, meskipun Haris ketika itu sedang merancang untuk melamar kekasihnya, Alya Nova (Puteri Awani), seorang pempengaruh terkenal.

Turut memeriahkan barisan pelakon ialah Natasya Mahyan, Ako Mustapha, Noniswara dan Azizah Mahzan. Sepanjang 10 episod, Me.N.U menjanjikan konflik, tawa dan emosi yang dekat dengan realiti generasi muda antara cita-cita, cinta dan restu keluarga.
Bagi Nabila Razali, watak Lisa memberikan inspirasi tentang keberanian seorang wanita untuk terus cekal. “Setiap langkah, walaupun kecil, memberi pengajaran dan menjadikan kita lebih kuat. Lisa ialah simbol keteguhan seorang wanita yang tidak pernah menyerah demi mengejar impiannya,” katanya.
Me.N.U bukan sekadar drama romantik komedi, tetapi juga kisah tentang aspirasi, keberanian dan erti sebenar perjuangan. Dengan resipi hiburan penuh rasa, ia hadir untuk mengingatkan penonton agar percaya pada kemampuan diri walaupun jalan hidup berliku.
Jangan ketinggalan menyaksikan tayangan perdana Me.N.U bermula 11 September 2025, eksklusif hanya di Tonton. Untuk maklumat terkini, ikuti @tontonmy di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram.