Universal Music Malaysia mengesahkan bahawa syarikat itu memahami sepenuhnya kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla dalam video muzik terbaharu mereka yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.
Perkara itu turut mengambil kira kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Susulan penelitian semula terhadap kandungan serta maklum balas masyarakat, Universal Music Malaysia mengambil keputusan untuk menurunkan video muzik berkenaan daripada semua platform digital sebagai langkah bertanggungjawab dan demi menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Menurut Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, keputusan tersebut dibuat selepas menilai semula keseluruhan produksi dan respons masyarakat. Beliau menegaskan bahawa sebagai syarikat rakaman yang beroperasi dalam masyarakat majmuk, mereka sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.
“Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku. Kreativiti dan ekspresi seni perlu bergerak seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Atas dasar itu, langkah menurunkan video muzik ini adalah tindakan yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya.
Universal Music Malaysia turut memaklumkan bahawa proses semakan kandungan kreatif akan diperketatkan selepas ini. Ia akan melibatkan perbincangan dalaman dan konsultasi profesional bagi mengelakkan isu serupa daripada berulang.
Syarikat itu merakamkan penghargaan kepada para peminat dan masyarakat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan membina, serta berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik tempatan.