“Move On” Jadi Titik Peralihan Malik Choo Temukan Suara Sebenarnya

Label pengurusan artis tempatan, SVLTAN Management, dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia memperkenalkan single terbaharu daripada artis naungan mereka, Malik Choo, berjudul “Move On”. Lagu ini merupakan karya rap pop dengan sentuhan R&B yang menandakan peralihan identiti serta evolusi kreatif Malik sebagai seorang artis serba boleh yang semakin kukuh kedudukannya dalam landskap muzik kontemporari Malaysia.

Dicipta dan diterbitkan oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Kidd Santhe, serta ditulis oleh Altimet yang juga dikenali sebagai Mambang, “Move On” tampil sebagai sebuah single moden yang sarat dengan kejujuran emosi, produksi kemas dan mesej motivasi. Lagu ini mengajak pendengar untuk berani melangkah ke hadapan, meninggalkan beban lalu dan membuka ruang kepada fasa kehidupan yang lebih positif.

Perjalanan seni Malik Choo bermula pada tahun 2009 apabila beliau dikenali sebagai DJ Kino. Pada fasa awal ini, Malik mempelajari asas penting dalam dunia persembahan seperti memahami audiens, membaca tenaga penonton dan mengawal suasana pentas. Pengalaman ini menjadi asas yang membentuk DNA artistiknya sehingga hari ini. Dari situ, Malik mula membuat persembahan, menjalinkan kolaborasi dan akhirnya tampil dengan single sendiri yang memperlihatkan perkembangan berperingkat dalam kerjaya muziknya.

Sepanjang perjalanannya, Malik terlibat dalam beberapa kolaborasi penting yang melonjakkan namanya. Antaranya termasuk “Kita Jaga Kita” bersama Altimet yang mencatat lebih 10 juta tontonan di YouTube, “Lelaki Di Telefon” bersama Afieq Shazwan dengan 12 juta tontonan, serta “Ralit” bersama Tuju yang menerima sambutan hangat dan memperluaskan pengaruhnya dalam kalangan pendengar arus perdana. Malik menyifatkan perjalanan ini sebagai satu proses panjang yang penuh usaha dan pengorbanan, namun setiap pengalaman disyukuri. Keupayaannya bertutur dalam bahasa Kantonis, Melayu dan Inggeris turut menjadi kelebihan dalam membina identiti unik sebagai artis tempatan berbilang budaya.

“Move On” merupakan single ketiga Malik bersama SVLTAN Management selepas “Suka Kamu” dan “Apa Saja”. Karya ini menampilkan sisi Malik yang lebih matang, reflektif dan berani dalam menyampaikan emosi serta pemikiran peribadi. Lagu ini berfungsi sebagai manifesto muzik yang menekankan keberanian untuk melepaskan perkara yang tidak lagi memberi nilai, sambil menggalakkan pendengar membina semula diri dengan keyakinan baharu.

Menurut Malik, lagu ini lahir pada satu fasa dalam hidupnya apabila beliau belajar untuk melepaskan perkara yang membebankan emosi. Walaupun terdapat sentuhan peribadi, mesej yang dibawa bersifat universal dan dekat dengan pengalaman ramai individu yang pernah melalui proses melepaskan dan memulakan kehidupan dengan hati yang lebih ringan.

Peranan Altimet sebagai Mambang dalam penulisan lagu ini turut menjadi elemen penting. Sebagai figura berpengalaman dalam industri muzik dan mentor kepada Malik, beliau membantu mencorakkan emosi serta hala tuju lagu dengan gabungan hip-hop, pop dan elemen K-pop yang seimbang. Malik menjelaskan bahawa proses kreatif mereka bermula secara organik dengan fokus kepada struktur dan penyampaian agar lagu kekal ringan didengar namun tetap memberi kesan emosi kepada pendengar.

Video muzik “Move On” yang diarahkan oleh Evan Lim pula memperlihatkan sisi visual Malik yang lebih berdisiplin dan berprestasi tinggi. Diserikan dengan koreografi oleh Meor Mukhris, MV ini mengambil inspirasi daripada persembahan K-pop yang dinamik dan tersusun. Malik mengakui cabaran besar apabila hanya mempunyai tempoh seminggu untuk latihan sebelum penggambaran, namun pengalaman tersebut dianggap intensif dan sangat bermakna, sekali gus meningkatkan keyakinannya untuk membawakan persembahan secara langsung.

Single “Move On” merupakan sebahagian daripada projek di bawah inisiatif Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0 Industri Muzik yang disokong oleh MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutif SVLTAN Management, Yasmeen Zainal, merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan atas sokongan berterusan terhadap pembangunan industri kreatif tempatan melalui Dana Kandungan Digital.

Malik berharap “Move On” dapat menjadi teman dan sumber motivasi kepada mereka yang sedang melalui perubahan dalam hidup. Beliau merancang untuk terus menghasilkan lebih banyak muzik, memberi fokus kepada persembahan secara langsung dan membina dunia muziknya secara konsisten, dengan pendekatan yang merendah diri namun penuh keyakinan. Sebagai penutup tahun 2025, SVLTAN Management turut merancang penganjuran sebuah mini showcase eksklusif yang menampilkan persembahan koreografi dan muzik tersusun, selain sesi bersama rakan industri dan media, sebagai simbol kepada fasa baharu perjalanan seni Malik Choo.

Single “Move On” boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 5 Disember 2025. Video muzik rasmi “Move On” pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube VEVO @MalikChoo pada 10 Disember 2025.