Penyanyi tersohor tanah air, Misha Omar kembali menghangatkan industri muzik dengan single terbaharu berjudul “Break”, menandakan kolaborasi sulung bersama komposer legenda Indonesia, Melly Goeslaw.
Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, lagu Break mula dipasarkan secara rasmi pada 20 Jun 2025 dan kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Lagu ini turut menjadi runut bunyi rasmi untuk drama “Mandul Bukan Pilihan” di saluran Astro Ria & sooka setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.
“Break” – Simbolik Jiwa, Emosi & Evolusi Misha Omar
Bersuara lantang dengan gelaran Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu sebanyak tiga kali, Misha Omar memberikan sentuhan penuh emosi dalam lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Melly Goeslaw, dengan Tohpati sebagai penerbit. Break membawa makna ‘rehat’ atau ‘jeda’, namun ironi tajuk ini menjadi simbolik bahawa Misha tidak akan berhenti berkarya demi industri seni suara tanah air.
Proses penghasilan lagu ini berlaku di Jakarta, Indonesia, hasil dari keberanian Misha menghantar mesej kepada Melly Goeslaw melalui Direct Message (DM) di media sosial, menyuarakan hasratnya untuk menyanyikan lagu ciptaan penyanyi dan komposer ikonik itu.
Penghasilan Penuh Teliti Bersama Guru Vokal Tersohor
Untuk memastikan kualiti vokal dan penghayatan seiring dengan kedalaman lirik, Misha turut bekerjasama dengan Datuk Syafinaz Selamat dalam sesi latihan vokal intensif serta penjiwaan lirik. Lagu Break dihasilkan dengan penuh ketelitian agar mesejnya dapat menyentuh perasaan pendengar dan meninggalkan kesan mendalam di hati peminat.
Aspirasi Nusantara & Sokongan Terhadap Muzik Serumpun
Misha menekankan bahawa kolaborasi bersama Melly bukanlah usaha menafikan bakat tempatan, sebaliknya ia adalah satu usaha meraikan kepelbagaian muzik Nusantara serta menambah warna dalam perjalanan seninya yang sudah lebih dua dekad.
“Saya berharap peminat akan terus menyokong karya seni serumpun seperti Break, agar industri muzik Malaysia dan Nusantara terus berkembang dengan sihat dan bertenaga,” ujar Misha.
Dengarkan lagu “Break” sekarang di semua platform digital. Jangan berhenti kerana Break bukan sekadar rehat, tetapi luahan emosi yang mendalam dari dua ikon muzik terulung. – Tehtariktimes