Michael Learns To Rock Bakal Gegarkan Pentas Genting Highlands November Ini

Kumpulan muzik terkenal dari Denmark, Michael Learns To Rock yang dianggotai oleh Jascha Richter selaku vokalis, Mikkel Lentz selaku pemain gitar dan Kåre Wanscher selaku pemain dram bakal kembali ke Malaysia sekali lagi atas permintaan ramai untuk mengadakan sebuah konsert utama yang dinanti-nantikan peminat setia.

Konsert berjudul Michael Learns To Rock Encore All The Hits in Malaysia anjuran MMIC Entertainment Group bersama JS Concert Productions akan berlangsung pada 9 November 2025, hari Ahad, jam 6 petang di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1988, Michael Learns To Rock atau MLTR telah menyentuh hati jutaan peminat dari pelbagai generasi di seluruh dunia menerusi lagu-lagu malar segar yang masih relevan hingga kini. Antara lagu ikonik yang sentiasa menjadi kegemaran ramai termasuk Take Me To Your Heart, Paint My Love, 25 Minutes, Sleeping Child dan That’s Why (You Go Away). Kehadiran lagu-lagu ini menjadi penyebab utama konsert mereka sentiasa mendapat sambutan hangat di mana sahaja mereka membuat persembahan.

Dengan hampir 1,000 persembahan langsung di seluruh dunia, pelbagai anugerah emas dan platinum, lebih 11 juta album terjual serta 1.5 bilion penstriman, MLTR terus membuktikan bahawa mereka adalah antara kumpulan muzik antarabangsa yang paling lama bertahan dalam industri. Selepas lebih tiga dekad membuat persembahan di Malaysia, mereka kini berkembang daripada tampil di lokasi kecil kepada arena berskala besar seperti konsert kali ini, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pilihan utama peminat tempatan.

Pra-jualan tiket eksklusif untuk ahli Genting Rewards akan bermula pada 4 Ogos jam 12 tengah hari menerusi laman rwgenting.com. Jualan umum pula dibuka pada 8 Ogos jam 12 tengah hari menerusi etix.my, rwgenting.com dan trip.com dengan harga bermula daripada RM188 sehingga RM988.

Selain menikmati persembahan, peminat yang membeli tiket Zon MLTR berharga RM988 berpeluang memenangi faedah eksklusif seperti foto peribadi bersama ahli kumpulan untuk 10 pemenang bertuah serta foto berkumpulan untuk 20 pemenang bertuah. Bagi pembeli tiket VIP bernilai RM788 pula, peluang untuk menyertai sesi foto berkumpulan turut ditawarkan kepada 20 peminat bertuah.

Untuk maklumat lanjut serta perkembangan terkini mengenai konsert ini, orang ramai boleh mengikuti MMIC Entertainment Group di Facebook dan Instagram serta JS Concert Productions di laman rasmi Facebook mereka.