Menjelang Aidilfitri 2026, sebuah lagu raya baharu berjudul “Meriah Hari Raya” hadir menceriakan suasana dengan gabungan lima penyanyi muda berbakat iaitu Azzam Sham, Sheryl Shazwanie, Ikmal Dani, Nana Tony dan Kasih Lia. Kolaborasi ini menyatukan tenaga dan karakter berbeza dalam satu naskhah yang sarat dengan energi positif serta kemeriahan, bertepatan dengan semangat sambutan Syawal yang dinanti-nantikan setiap tahun.
“Meriah Hari Raya” merupakan hasil ciptaan dan lirik oleh Dearlynns, komposer dan penulis lirik baharu di bawah Myoozikwav Entertainment yang ditadbir oleh Luncai Emas. Sebagai bakat baharu dalam industri muzik tempatan, Dearlynns membawa pendekatan segar menerusi karya ini dengan mengekalkan elemen tradisi dan nilai kebersamaan yang sinonim dengan Aidilfitri. Menurutnya, lagu ini dihasilkan dengan harapan dapat menghadirkan senyuman, kehangatan dan kegembiraan kepada semua pendengar, selain menjadi permulaan kepada lebih banyak karya pada masa akan datang.
Lagu ini menampilkan gabungan lima suara generasi baharu yang masing-masing memiliki identiti tersendiri. Setiap bahagian yang dinyanyikan memberikan warna dan sentuhan berbeza, namun tetap harmoni dalam menyampaikan tema kegembiraan, kemaafan dan kebersamaan yang menjadi inti pati perayaan Aidilfitri. Dengan rentak yang rancak, melodi yang mudah melekat di ingatan serta lirik santai, “Meriah Hari Raya” sesuai dijadikan runut bunyi sepanjang musim perayaan, bermula daripada persiapan raya dan perjalanan pulang ke kampung hinggalah ke suasana rumah terbuka yang meriah.
Azzam Sham yang sebelum ini dikenali menerusi lagu “Cinta Jangan Pergi” meluahkan rasa syukur dapat terlibat dalam projek istimewa ini dan berharap lagu tersebut dapat terus diterima baik oleh peminat serta memeriahkan sambutan lebaran tahun ini. Ikmal Dani pula, yang popular dengan lagu “Belum Sempat”, berharap “Meriah Hari Raya” mampu menjadi pengiring indah ketika keluarga dan sahabat berkumpul, sekali gus mengeratkan lagi silaturahim di hari yang mulia.

Sheryl Shazwanie yang pernah mencuri perhatian menerusi lagu “Perasaan” menyasarkan agar lagu ini mendapat tempat di hati pendengar dan menjadi pilihan utama di setiap rumah terbuka serta mencetuskan fenomena di platform media sosial. Bagi Nana Tony, peluang berkolaborasi bersama barisan artis lain disifatkan sebagai satu pencapaian berharga dan pengalaman besar dalam kerjayanya. Beliau berharap lagu ini mampu menggamit kenangan manis buat semua pendengar sepanjang Aidilfitri. Kasih Lia pula menaruh harapan agar “Meriah Hari Raya” diterima oleh semua lapisan masyarakat dan kekal menjadi antara lagu yang menceriakan suasana raya saban tahun.
Lagu ini diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd dan Myoozikwav Entertainment dengan edaran digital di bawah Luncai Emas. Video muziknya telah menjalani penggambaran di Terengganu dan turut menampilkan beberapa penampilan khas termasuk Mubarak, seorang selebriti warganegara Nigeria yang fasih berbahasa Terengganu dan pernah tular di platform TikTok. Selain pelancaran audio rasmi di semua platform penstriman digital, video muzik “Meriah Hari Raya” turut dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas bermula 20 Februari 2026.
Diharapkan pelancaran lagu ini dapat menarik perhatian para pendengar serta pihak media, seterusnya menjadi antara karya yang menyemarakkan lagi kemeriahan Aidilfitri tahun ini.