Ratu tari negara, Stacy, kembali dengan single baharu berjudul “Mega Ching!”, menampilkan muzik ‘dance’ moden yang sarat dengan identiti uniknya sendiri. Lagu ini dihasilkan sepenuhnya oleh Stacy menggunakan nama pena Bunga Cantik dan melambangkan ekspresi diri, keyakinan, serta semangat penghibur yang sudah sinonim dengan penyanyi kelahiran Sabah ini. Kehadiran lagu ini menandakan kembalinya Stacy dengan warna muzik yang telah lama dinantikan peminat sejak awal kerjayanya.
Stacy berkongsi bahawa inspirasi lagu ini lahir dari pengalamannya di pentas, sebagai cara melepaskan rasa gementar sambil menari dan menyanyi. Menurutnya, istilah “Mega Ching!” merujuk kepada ungkapan santai yang menggambarkan situasi lucu atau keterujaan, sambil menjadi saluran untuk mengekspresikan emosi dan mengingatkan diri agar tidak terperangkap dalam tekanan mental dunia hiburan.
Proses rakaman “Mega Ching!” mengambil masa beberapa bulan untuk memastikan setiap elemen muzik mencapai kualiti terbaik. Lagu ini awalnya dijadualkan untuk dipersembahkan dalam konsert ‘Aku Stacy’ di Kota Kinabalu, namun Stacy memilih untuk menunggu sehingga versi paling sempurna tercapai. Sepanjang proses rakaman, beberapa perubahan melodi dilakukan demi menyempurnakan lagu tersebut.

Dalam single ini, Stacy memperkenalkan kelainan dengan gabungan muzik EDM berinspirasikan K-pop yang popular, dipadankan dengan melodi dan lirik yang mengekalkan ciri khasnya. Keunikan lagu ini juga terletak pada elemen rap pertama kali dalam kariernya, menggunakan dialek Sabah, menjadikan ia lebih segar dan berbeza.
“Mega Ching!” hadir dengan rentak ceria, bertenaga dan mampu memberi semangat serta keyakinan kepada pendengar. Liriknya mengetengahkan persaingan sihat dengan sedikit elemen sindiran manja, sambil menyampaikan mesej positif untuk terus berusaha dan yakin dengan kelebihan diri. Stacy berharap lagu ini dapat memberi aura positif kepada peminat, mendorong mereka keluar dari zon selesa dan menghargai keaslian diri.
Sambutan awal terhadap lagu ini amat menggalakkan daripada pasukan produksi dan rakan-rakan artis. Stacy berkata, “Reaksi mereka sangat positif dan semua menyatakan ‘Stacy is back’! Saya harap lagu ini dapat mengubat rindu peminat yang menantikan karya seperti ini.”
Selain daripada single ini, Stacy sedang menyiapkan album baharu yang akan menampilkan “Mega Ching!” sebagai antara lagu utama. Video lirik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube ‘Rhythm & Rhyme Entertainment’ pada 28 November 2025 jam 8 malam, selari dengan pelancaran single di semua platform digital muzik.













