Maxim Malaysia kini bersedia meneruskan operasi selepas mengemukakan rayuan rasmi kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), susulan penambahbaikan dan pematuhan terhadap arahan yang ditetapkan.
Dalam taklimat media pada 10 Jun, Timbalan Ketua Pengarah APAD, Puan Masita Binti Mat Isa mengesahkan penerimaan dokumen daripada Maxim serta kesediaan agensi untuk menyemak kes tersebut. Beliau turut menekankan kepentingan pasaran e-hailing yang kompetitif dan adil demi pembangunan ekonomi digital negara.
Maxim memberi jaminan hanya pemandu sah dibenarkan menerima tempahan. Syarikat ini turut membantu calon pemandu mendapatkan lesen PSV dan EVP, bekerjasama dengan lebih 25 sekolah memandu, dan merancang menambah kuota pemandu dengan sistem bonus dan sokongan dalaman.

Antara ciri keselamatan yang ditawarkan termasuk fungsi sembang dalam aplikasi yang dipantau dan penjejakan masa nyata yang membolehkan pengguna berkongsi perjalanan dengan keluarga atau rakan.
Lebih separuh pemandu Maxim menjadikan platform ini sebagai sumber pendapatan utama, menjana sehingga 80% daripada jumlah pendapatan bulanan mereka. Pengarah Maxim Malaysia, Musley Mohd Hazwan berkata, “Beribu-ribu pemandu bergantung kepada Maxim untuk menyara keluarga, manakala pengguna menikmati perkhidmatan mampu milik.”
Sejak enam tahun lalu, Maxim bukan sahaja membayar cukai malah aktif melabur dalam infrastruktur, teknologi, pemasaran, dan projek CSR di seluruh negara. Syarikat juga komited menyediakan perkhidmatan untuk semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, golongan pertengahan, dan OKU, dengan kadar khas serta promosi perjalanan percuma untuk komuniti buta dan paralimpik.
Dengan kehadiran di seluruh negeri, Maxim kini menjadi antara pemain utama dalam sektor e-hailing tempatan, terus memperkukuh teknologi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Maxim, sila layari laman web rasmi di taximaxim.com atau hubungi melalui e-mel di pr_malaysia@taximaxim.com. – Tehtariktimes