Nama Marsha Milan terus bersinar selepas dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-39, apabila beliau mencipta satu lagi pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa. Pada 18 April 2025, wajah Marsha menghiasi billboard ikonik di Times Square, New York, sebagai Duta Spotify EQUAL Asia bagi bulan April 2025.
Sebagai wajah utama playlist EQUAL Singapore & Malaysia, dua lagu popular Marsha iaitu Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa turut dipaparkan. EQUAL merupakan inisiatif global oleh Spotify dalam mempromosikan kesamarataan jantina dalam industri muzik, dengan memberi ruang kepada artis wanita dari seluruh dunia untuk diraikan dan diketengahkan.
Marsha menganggap pengiktirafan ini sebagai satu impian yang akhirnya tercapai. Dia sangat teruja dan bersyukur dengan pencapaian ini. Dia tidak pernah menyangka peluang seperti ini akan datang, namun kini ia menjadi kenyataan. Sejak dahulu, dia selalu bermimpi untuk melihat dirinya di billboard, dan akhirnya, gadis dari sebuah bandar kecil di Sabah ini diberi peluang tersebut.
Dia juga menyatakan bahawa pencapaian ini tidak datang dengan strategi khusus, sebaliknya percaya bahawa karya muzik yang baik akan sentiasa dihargai. Beliau harap pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai komposer berbakat untuk terus menghasilkan lagu-lagu berkualiti.
Dengan hampir dua dekad pengalaman dalam industri muzik, Marsha menekankan pentingnya keikhlasan, disiplin, dan keinginan untuk terus belajar sebagai kunci utama kelangsungan karier. Industri ini memang sentiasa berubah, jadi kita pun kena sentiasa berkembang, tapi jangan sampai hilang identiti. Bagi saya, hubungan yang baik dengan team dan penyokong sangat penting, tambahnya.
Selain kejayaan di Spotify, Marsha turut diumumkan sebagai salah seorang artis jemputan di Festival ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) anjuran KBS World Korea, yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Jun 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Festival ini dianjurkan dengan sokongan ASEAN-Korea Cooperation Fund dan menampilkan barisan artis serantau bagi meraikan kepelbagaian muzik dan budaya ASEAN-Korea.
Untuk maklumat terkini mengenai Marsha Milan dan artis di bawah naungan Alternate Records & Talents, ikuti akaun rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.