Malaysia Book of Records Anugerahkan KRU & Icon Entertainment atas Pencapaian Luar Biasa dalam Konsert

Kumpulan KRU melakar sejarah baru apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) atas kejayaan luar biasa dalam penganjuran Konsert GenKRU 2025 yang berlangsung selama empat hari berturut-turut di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Trio adik-beradik KRU yang terdiri daripada Dato’ Norman Abdul Halim, Dato’ Yusry, dan Edry dinobatkan dengan penghargaan MOST SHOW IN A SINGLE CONCERTS SERIES (Persembahan Terbanyak dalam Satu Siri Konsert). KRU berjaya mengadakan konsert selama empat malam berturut-turut iaitu pada 3, 4, 10, dan 11 Mei 2025, menandakan satu pencapaian yang amat membanggakan.

Menurut Norman, pengiktirafan ini bukan sahaja untuk KRU, tetapi juga untuk para peminat yang sentiasa menyokong mereka selama lebih tiga dekad dalam industri hiburan. “Pencapaian ini bukan hanya untuk KRU secara peribadi, tetapi untuk semua peminat yang telah menjadikan Konsert GenKRU 2025 lebih daripada yang dijangkakan, dari satu malam kepada dua, tiga, dan akhirnya empat malam. Terima kasih atas sokongan tanpa henti,” ujar Norman mewakili KRU.

Selain itu, penganjur Konsert GenKRU 2025, Icon Entertainment (M) Sdn Bhd, turut menerima pengiktirafan daripada MBR dengan anugerah MOST CONCERT TICKETS SOLD OUT IN AN HOUR (Penjualan Tiket Konsert Terpantas Dalam Tempoh 1 Jam). Dalam tempoh hanya satu jam, sebanyak 8,000 tiket konsert habis dijual, satu pencapaian yang luar biasa.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menyatakan rasa terima kasih kepada pihak MBR dan peminat KRU yang telah menjadikan konsert ini satu fenomena. “Terima kasih kepada pihak MBR atas pengiktirafan ini. Kami di Icon Entertainment berasa bangga kerana Konsert GenKRU 2025 bukan sahaja mencatatkan rekod tiket terjual paling cepat, tetapi juga berjaya menarik perhatian lebih 30,000 peminat dalam empat malam penganjuran,” kata Iman.

Beliau turut menambah, “Ini adalah bukti bahawa produk tempatan mendapat tempat yang istimewa di hati peminat. Konsert GenKRU 2025 menjadi satu inspirasi untuk memajukan lagi industri hiburan tempatan.”

Konsert yang dihadiri oleh lebih 30,000 peminat ini turut menampilkan kemunculan khas daripada kumpulan Feminin, Elite, dan Adam AF, yang menjadikan acara ini lebih istimewa. Kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Iliyas Jamil, serta Ketua Pegawai Eksekutif MBR, Christopher Wong, turut memeriahkan suasana.

Pengiktirafan daripada MBR ini sekali lagi membuktikan betapa KRU dan industri hiburan tempatan terus berjaya mencipta kejayaan dan meninggalkan kesan mendalam dalam hati peminat.